Wednesday 16 March 2016

Manisnya Souffle - Bab 8 & 9





BAB 8

Tepat jam 9.30 malam, kereta Audi TT milik Mia yang dipandu Zafeeq berhenti tepat di hadapan banglo dua tingkat yang terletak di Bukit Kiara itu. Mia di sisi sudah lama terlena bersama bantal kecil dipelukan. Penat sangat agaknya.

Sebaik pintu pagar terbuka, terus kereta dipandu masuk dan kereta diparkir bersebelahan BMW yang terletak di garaj luas banglo itu. sekilas Zafeeq memandang wajah lena gadis itu yang nampak tenang tertidur lagak bayi saja.

Sebaik ternampak cahaya yang datang dari arah pintu rumah itu segera renungannya dimatikan. Dia menapak keluar, dan disambut oleh seorang wanita dalam usia awal 50-an.

“Assalamualaikum mak cik,” Sapa Zafeeq penuh hormat.

“Waalaikumsalam.” Mak Wan menyambut. Kemudian kerutan terbentuk didahi tua itu. “Anak ni siapa? Mana Mia?”

Kemudian cepat-cepat pintu kereta belah penumpang itu dibuka Zafeeq. Sebaik terlihat sekujur tubuh Mia dilihat Mak Wan, terlepas satu keluhan halus dibibir tua itu beserta gelengan kecil. Mia...Mia...

“Saya Zafeeq. Zafeeq Aidan. Ketua Chef di restoran hotel milik Tan Sri. Saya Cuma tolong hantarkan Mia balik aje, sebab saya pun turut serta dalam program charity dekat rumah anak yatim pagi tadi. Harap mak cik tak salah faham,” terang lagi jelas Zafeeq menerang, tak mahu kalau wanita tua itu beranggapan bukan-bukan pula tentangnya.

“Zafeeq?” Mak Wan terdiam sebentar seraya memerhati anak muda itu. Inilah rupanya budak yang buat anak majikannya itu menangis tempoh hari. Seketika kemudian dia ukir senyum.

“Terima kasih Zaf, dah hantar Mia balik. Mia ni kalau dah tidur, letak bom dekat sebelah pun dia takkan terjaga.” Seloroh Mak Wan bersahaja. Tubuh Mia didekati dan bahu itu ditepuk-tepuknya. “Mia... Mia bangun Mia...”

Beberapa saat kemudian baru terlihat gerakan dari tubuh langsing itu. Mia memisat mata yang kelat menahan ngantuk.

“Mak Wan...” sapa Mia dengan suara kedengaran sedikit serak.

“Bangun Mia, dah sampai rumah dah ni.” Lengan itu ditarik Mak Wan lembut dan dipimpin masuk ke dalam rumah. Dah mamai sangat nampaknya.

Zafeeq yang masih menunggu diluar melorek senyum sebaik wanita yang dipanggil Mak Wan itu keluar semula mendapatkannya.

“Terima kasih sekali lagi Zaf, dah hantarkan Mia balik,” ucap Mak Wan lembut.

Dia geleng kepala. “Takpe Mak Wan, benda kecil je. Kalau takde apa-apa, saya mintak diri dulu.”

“Zaf nak balik naik apa ni?” Mak Wan menyoal gusar. Dah terang-terang anak muda itu datang ke sini dengan kereta Mia.

“Saya balik naik teksi je Mak Wan,” balas Zafeeq.

“Kalau nak, Mak Wan boleh suruh Pak Rahman hantarkan Zaf balik.”

“Eh... tak payah susah-susah, banyak lagi teksi dekat luar sana,” tolak Zafeeq. “Assalamualaikum.” Langkah mula diatur keluar dari banglo mewah itu.

“Waalaikumsalam,” jawab Mak Wan perlahan sebaik saja bayang anak muda itu menghilang. Seulas senyum terlorek kecil dibibir tua itu sebelum pintu ditutup semula rapat.

Pintu bilik Mia diketuk. Bila kedengaran suara serak yang menyambut, terus tombol pintu dipulas Mak Wan.

Mia bangkit dari baring. Rambut yang sedikit berserabai disebak ke balakang. Susu panas yang dihulur Mak Wan disambutnya dan disisip sedikit. sesaat kemudian baru dia teringatkan sesuatu.

“Zaf dah balik Mak Wan?” Soalnya tiba-tiba berbunyi bimbang.

“Dah... dia balik naik teksi je. Kenapalah Mia nak menyusahkan dia hantar Mia balik, kan tak pasal-pasal dia kena balik sendiri naik teksi!”

Dahi digosok Mia kejap. “Mia pening la tadi Mak Wan, rasa tak larat nak memandu. Panas sangat agaknya, sebab tu Mia mintak Zaf hantarkan balik,” jawabnya terus terang tanpa berselindung.

Mak Wan tersenyum nipis. “Nampaknya Zafeeq tu takde la seburuk yang Mia ceritakan dulu kan?” cuba dipancing suara anak majikannya itu dengan nada mengusik. “kacak pun kacak Mak Wan tengok.”

Demi mendengar kata pujian itu, entah kenapa mengundang rasa malu Mia. “Depan Mak Wan baik la dia, kalau dengan Mia... asyik nak cari gaduh je kerjanya. Tak boleh nampak Mia senang langsung!” dia merungut cuba menutup rasa hati yang sebenarnya.

“Oh ya... pagi tadi Jihad pengsan masa main dekat luar. Mama dengan papa malam ni tidur dekat hospital temankan Jihad”

“Doktor cakap apa?” terdengar nada bimbang dari suara yang melantun keluar itu. sebenci-benci dia pun pada mama tirinya itu, dia tahu kalau adik kecilnya itu tak bersalah.

Mak Wan geleng kecil. “Tadi Mak Wan call, katanya masih dalam pemeriksaan lagi.”

“Owh...”

Sepi mengulit buat seketika. Tiba-tiba tangan Mia disentuh lembut.

“Mia... Mak Wan tahu Mia terlalu sayangkan arwah mama. Tapi... apa yang Mia buat ni salah.”

Mia angkat muka. wajah separuh abad itu direnung.

“Selama Puan Sri Sarimah duduk di rumah ni selama empat tahun ni, Mak Wan tak pernah nampak satu pun sikap buruk pada Puan Sri tu.” Dengusan kasar menghinggap cuping telinga Mak Wan.

“Pandai pura-pura, memang la Mak Wan tak nampak!”

“Takde siapa yang mampu berpura-pura selama tu Mia. Selama ni tak pernah dia berkasar dengan Mia, cakap pun lemah lembut aje. Tapi Mak Wan tengok Mia yang selalu berkasar dengan dia.” kepala itu diusap penuh kasih, cuba untuk melembutkan hati gadis itu yang telah lama keras untuk menerima kasih sayang mama tirinya itu.

Kuat bibir diketap. Terasa panas bola matanya. “Mia tak boleh terima papa terlalu cepat lupakan mama...” antara dengar dan tidak suara itu merintih rendah.

“Mia tahu tak bawah bantal papa, selalu ada gambar arwah mama?”

Sepasang mata berlinang itu naik laju ke muka Mak Wan. Betul ke?

“Rindu tak perlu ditunjuk pada satu dunia Mia, cukup dititipkan dalam doa setiap hari. Lagipun lelaki memang tak tahu nak tunjukkan rasa hati yang sebenar, memang dah Allah jadikan mereka macam tu. Tapi tu tak bermaksud papa tak rindukan arwah mama.”

Terdiam Mia jadinya. Selama ni dia ingatkan papanya tak pernah mengingati arwah matanya memandangkan isteri muda sudah ada depan mata.

“Hari tu Mia terjumpa Danny.”

Nyata Mak Wan tak mampu membendung rasa terkejutnya. “Lepas tu?”

Keluh halus terluah dari bibir mungil Mia. “Dia nak balik pada Mia.”

“Mia nak ke?”

Tanpa memikir walau sesaat, kepalanya menggeleng.

Mak Wan lepas nafas lega. “Syukur Alhamdulillah kalau itu jawapan Mia. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor.”

Lambat-lambat terbit sengih di wajah Mia. “Pandainya Mak Wan berperibahasa. Kumbang bukan seekor ek? Tapi kenapa takde sekor pun lagi yang melekat dekat Mia?!”

“Zaf tu bukan kumbang ke?”

Terus mati sengih Mia dibuatnya. “Mak Wan minat sangat dengan Zaf tu dah kenapa? Nak Mia masukkan meminang Zaf untuk Mak Wan ke? Mak Wan pun dah lama single tu...” sengaja dileret-leretkan suaranya seraya memeluk manja lengan itu.

Diketuk lembut kepala anak majikannya itu. “Mak Wan ni dah expired! Orang kata dah liat, pahit. Kalau kahwin pun dah tak dapat anak dah. Lain la Mia... muda, cantik, bergetah lagi.”

Mia garu kepala. “Aduh...Mak Wan. Mia tak sedia lagi la.”

“Kalau nak tunggu sedia, sampai bila-bila pun kita takkan bersedia Mia.”

“Dah kahwin, beranak nanti, habis la badan Mia jadi macam tong dram. Tak nak la!”

“Kalau nak jaga badan, sampai ke tua la Mia membujang nampaknya.”

Mia hanya mampu tergelak mendengar suara berbaur rajuk Mak Wan itu.

**********




 BAB  9

Lengan Tan Sri Jamaluddin dipeluk Mia dan mereka melangkah masuk beriringan. Disebabkan Jihad masih deman, terpaksalah Mia menemani papanya untuk hadir ke majlis ulang tahun perkahwinan Dato’ Hamid dan isterinya yang berlangsung di Shangri-La Kuala Lumpur itu.

“Jamal...”

Dari lagi sudah kelihatan sepasang suami isteri dengan baju warna sedondon datang mendekati mereka. Senyum manis diukir Mia seraya menghulur tangan untuk bersalam dengan wanita seusia papanya itu.

Happy anniversary auntie.” Ucapnya lembut seraya menyerahkan kotak hadiah sederhana besar pada  Datin Syarifah

“Terima kasih.”

Tan Sri Jamaluddin dan sahabat lamanya itu berpelukan seketika. Sudah hampir tiga tahun mereka tak berjumpa atas kesibukan masing-masing.

“Sihat?” Soal Dato’ Hamid.

“Alhamdulillah... masih boleh datang, maknanya aku masih sihat la tu.” Tan Sri Jamaluddin berseloroh gembira. “Ni...” belakang badan anak gadisnya itu ditolak sedikit ke depan. “Puteri aku satu-satunya. Mia Aizara.”

“Apa khabar uncle?” sapa Mia pula.

“Baik... baik.” Lengan sahabatnya itu ditepuk Dato’ Hamid. “Bila aku dapat makan nasi minyak ni?”

Tan Sri Jamaluddin hanya tergelak menyambut soalan itu. “Insha Allah, kalau dah jumpa jodoh nanti.” Raut si anak ditunak kejap. Mia hanya tersenyum nipis.

“Jom Mia, auntie kenalkan dengan anak auntie pulak.” Ajak Datin Syarifah. Mereka jalan beriringan meninggalkan dua sahabat itu berbual.

Sedang mereka berbual, tiba-tiba satu suara kedengaran menegur di belakang.

“Rifah...”

Datin Syarifah menoleh ke belakang dan diikuti oleh Mia dan anak Datin Syarifah, kak Ira. Hampir terbuntang biji mata Mia saat matanya jatuh pada lelaki muda di sisi wanita yang menegur itu. Zaf?!

Tapi apa yang lebih mengejutkannya ialah tangan wanita itu yang nampak mesra memeluk lengan lelaki itu. Mata mereka bertembung, dan raut tampan itu langsung tak menunjukkan sebarang reaksi terkejut sepertinya. Masih nampak tenang, malah sempat lagi melempar senyum nipis padanya.

“Sarah...datang jugak kau, aku ingatkan tak datang.” Suara Datin Syarifah sebaik memeluk erat tubuh wanita sebayanya itu. Tanpa sedar mata Mia tajam menujah ke raut wajah separuh abad itu sebelum beralih pula pada Zafeeq. Anak ikan rupanya....rasa kecewa mula menujah hatinya

Diperhati penampilan kemas lelaki itu dengan seluar slack hitam, kot dan necktie yang terjerut kemas itu. Sangat berbeza daripada Zafeeq yang dia kenal selama ini. Tak semena-mena hatinya bergetar sendiri melihat penampilan maskulin lelaki itu malam ini.

Makin dalam kerutan yang terbentuk di dahi Mia bila dilihat Zafeeq membisikkan sesuatu ke telinga wanita itu sebelum berlalu pergi. Syak wasangka Mia bertambah kuat. bila difikir-fikir, patutlah lelaki tu mampu memakai motor Ducati Superbike yang pada anggarannya itu bernilai ratusan ribu ringgit, malah jaket kulit yang diberikan padanya dulu pun bukan dari jenama yang biasa-biasa. Ada yang menaja rupanya. Tiba-tiba hatinya diusik cemburu.

Lengan Datin Syarifah disentuh kejap. “Mia mintak diri kejap auntie,” ujarnya rendah sebelum berlalu. Sebaik ternampak kelibat Zafeeq yang sedang mengambil makanan dia meja buffet itu dia mempercepat langkah.

“I tak sangka you se-desperate ni nak hidup dalam kemewahan.”

Kepala Zafeeq menoleh ke sisi sebaik suara itu menujah telinganya. Pelipis mula berkerut. Dilihat Mia sudah berdiri di sisinya sambil berpeluk tubuh. Langsung tak memandang kearahnya.

“Apa maksud you?” mendatar Zafeeq menyoal tak mengerti.

“You rasa?”

Kedut didahi kian hebat. Tapi bila terlihat kening yang ternaik sebelah itu dia seolah-olah mula mengerti. Terus merah padam mukanya. Terlepas nafas kasar dibalik rengkungnya.

“Apa you ingat I sekotor tu ke?”

Mia tarik senyum hujung bibir. sinis kelihatan. “Kalau tidak, takkanlah you boleh berdiri depan I dengan suit mahal macam ni.” Balasnya seraya memegang lapel pada kot yang tersarung di tubuh sasa itu dengan aksi menggoda.

Jemari runcing itu ditepis kasar walaupun bau haruman yang datang dari tubuh Mia sedikit menggegar jiwa lelakinya. Jelas terlukis riak amarah yang tertahan diwajah Zafeeq. “Kalau you ingat I gigolo yang kerjanya cuma tahu mengikis duit perempuan, you silap! I masih mampu lagi  sara hidup I dengan duit hasil usaha I sendiri!” bentaknya dengan nada tertahan. mencerlung tajam wajah runcing itu.

“Zaf...”

Serentak mereka berdua berpaling ke sisi. Kini berdiri sekujur tubuh yang disangka punya hubungan gelap dengan Zafeeq itu. Mia menghadiah pandangan penuh curiga.

Datin Maisarah memandang sekilas gadis cantik yang berdiri di sisi anak lelakinya itu, sebelum beralih semula pada anak terunanya itu.

“Jom, mama nak kenalkan Zaf dengan semua kawan-kawan universiti mama dulu.” ajak Datin Maisarah seraya menarik lembut lengan si anak.

Mata Mia yang sedia galak itu terbuntang besar tatkala terdengar perkataan ‘mama’ yang meluncur dicelah bibir wanita bertudung itu. Mama? Terus kelu lidahnya untuk berkata. laju matanya naik kemuka Zafeeq. Dilihat Zafeeq sudah memandangnya dengan kening terangkat sedikit.

“Untuk you,” kata Zafeeq pendek. Pinggan berisi makanan itu diletak atas meja buffet itu sebelum dia bergerak pergi mendapatkan mamanya yang sudah jauh ke depan.

Mia masih terkedu. Kalau yang ni mama... yang umi haritu siapa?

Lamunannya tercantas bila lengannya terasa disentuh.

“Kenapa Mia?”

Sebaik matanya tertunak pada wajah papanya, segera dia menggeleng. “Takde apa.” Dia diam seketika, was-was untuk bertanya. Tapi kalau tidak disuarakan apa yang menjadi persoalan dalam benaknya ni, dia jugak yang tak tenang nanti.

“Pa...”

Tan Sri Jamaluddin menyahut kecil.

“Papa kenal tak auntie yang berbual dengan auntie Syarifah tu?” Tanya Mia berhati-hati seraya menjuih sedikit pada insan yang dimaksudkan. Papanya ikut memandang wanita yang dimaksudkan, diikuti oleh Dato’ Hamid.

“Owh...itu Datin Dr. Maisarah, Mia. Isteri Dato’ Dr. Syukri, pemilik Hospital Al-Rhaudhah. Yang budak lelaki tu anak bongsu dia kalau tak silap uncle,” Cerita Dato’ Hamid menjawab.

Mia tersentak hebat. Anak?! Dato’?! papa dipandangnya penuh rasa tak percaya.

Tan Sri Jamaluddin pula terangguk-angguk mendengar. Dato’ Syukri. Nama yang memang tak asing lagi telinganya selama ini, cuma tak pernah berkesempatan berjumpa dengan tuan badan saja lagi.

“Aku dengar Dato’ Syukri nak bukak satu lagi hospital baru ke dekat Johor?” celah Tan Sri Jamaluddin. Mia di sisi sudah terdiam tak terkata.

“Dalam construction lagi. Rasanya dalam pertengahan tahun depan siap la tu,” jawab Dato’ Hamid ringkas. Anak sahabat baiknya itu dipandang. “Datin Maisarah tu pakar bedah jantung. Tak silap uncle anak dia tu pun doktor jugak dulu, tapi dah tukar kerjaya jadi chef pulak.”

Sekali lagi Mia jatuh rahang. Doktor?

Tan Sri Jamaluddin menoleh pada puterinya itu. Pelik melihat raut gusar anak gadisnya itu. “Kenapa tiba-tiba Mia tanya ni?”

Kerut di dahi kian dalam. “ Cuba papa tengok betul-betul anak lelaki datin tu!” tekan Mia tanpa bengkang bengkok. Agaknya papanya tak perasan kerana penampilan lelaki itu yang nampak berbeza agaknya malam ini.

“La... apa tak kenalnya, tu kan Chef Zaf yang kerja dekat hotel kita.”

“Huh?! Jadi papa tahu la selama ni Zaf tu anak Dato’ Syukri?” Soal Mia terkejut besar.

“Apa tak tahunya, dah pekerja papa, mesti la kena ambil tahu walaupun sekecil-kecil pekerja,” balas Tan Sri Jamaluddin bersama ketawanya melihat muka terkejut anaknya itu.

Terkerdip-kerdip mata Mia melotot kearah Zafeeq tak jauh dari situ. “Tapi, kenapa aku tak tahu pulak selama ni?” gumamnya sendiri. kemudian dia teringat semula fail peribadi Zafeeq yang dihantar Nadrah dulu. baru dia perasan yang nama lelaki itu, Zafeeq Aidan Bin Ahmad Syukri.

Hampir dua jam berada di majlis itu, Mia mula kebosanan. Dilihat papanya masih rancak lagi berbual dengan beberapa kenalan perniagaan. Tanpa menunggu lama terus bag tangannya atas kerusi disambar dan dia bangkit dari kerusi.

“Pa... dah pukul sepuluh ni, tak nak balik lagi ke?” Soalnya perlahan di tepi telinga papanya.

“Mia balik la dulu sayang, papa banyak lagi nak berbual dekat sini.” Tan Sri Jamaluddin membelas rendah.

“Habis tu, kereta?”

“Takpe... Mia balik je dulu, nanti pandai-pandai la papa balik sendiri. Bukan jauh pun.”

“Okay. Mia balik dulu ek.” Pipi itu dikucup kejap sebelum berlalu pergi.

Central lock Audi Ttnya ditekan. Sebelum membolos masuk, sempat lagi matanya meliar kearah tempat parking motosikal tak jauh dari situ. Manalah tahu kalau-kalau ada motor Zafeeq. Tapi tiada nampaknya. Enjin dihidup dan kereta mula bergerak keluar dari kawasan parkir hotel mewah itu.

Ketika keretanya berhenti di hadapan lampu isyarat merah itu, tiba-tiba kereta  sport Mercedes-AMG GTS berhenti tepat di sisi keretanya. Sebaik melihat pemilik kenderaan mewah, tingkap keretanya dibawa turun tanpa secalit senyum pun. Zafeeq tersenyum memandangnya. Senyum mengejek ke?

 “Tak sangka anak ikan macam I ni pun boleh pakai kereta mahal macam ni kan?” Zafeeq menutur penuh selamba seraya mengetuk stereng kereta kesayangannya itu, sengaja nak memancing kerut di wajah jelita itu.

Naik berdesing telinga Mia mendengar kata berbunyi pedas penuh perlian itu. Bibir diketap kuat. seketika kemudian Mia ketawa kecil. sinis kedengaran. “Jangan you ingat, you pakai kereta sport mahal macam ni you boleh berlagak dengan I?”

Senyum Zafeeq makin melebar mendengar balasan dari bibir mungil itu. Kedua bahunya dijungkit sedikit seolah langsung tak terkesan dengan kata-kata sinis itu. “I tak pernah berniat nak berlagak depan you Mia. Tapi kalau itu yang you kata, I tak boleh cakap apa. Sekurang-kurangnya... I bukannya anak orang kaya yang spoil macam you.”

Mata Mia membulat besar. “What?!!

Dan tika itu juga lampu isyarat bertukar hijau.

Good night princess... jangan marah-marah, nanti muka cepat berkedut,” ucap Zafeeq nakal bersama kenyitan mata.

Belum sempat Mia menyembur, kereta mewah itu sudah bergerak laju ke hadapan. dari jauh dapat dilihat Zafeeq mengeluarkan tangan dari tingkap kereta dan melambai padanya yang masih tak bergerak di belakang. turun naik dadanya menghela nafas kuat.

“Eii...sakitnya hati!”

Tangan digenggam kuat cuba membendung rasa sebalnya. Sesaat kemudian nafas dalam ditarik Mia. “Takpe Mia...sabar... marah pun tak bawak untung, lagi sakit hati ada.” Ucapnya pada diri sendiri. Pedal minyak ditekan dan keretanya mula meluncur laju membelah jalan raya yang sudah agak lengang dengan pengguna.

Tak semena-mena senyuman dan kenyitan mata yang dilempar Zafeeq tadi terlintas semula di mata. Tiba-tiba mukanya terasa panas membahang. Tangannya naik menjalar ke pipi. Panas! Dikerling pula bias wajahnya pada cermin pandang belakang. Blushing?!

“Dah kenapa aku ni? Kena sawan ke?” gumamnya rendah tak keruan. Takkan dah jatuh cinta dengan Zaf pulak? Habis, lelaki souffle’ tu macam mana pulak?


Liur ditelannya payah... jatuh cinta dengan Zaf? Perkara yang sangat tak masuk akal! Jadi apa makna semua rasa ni?

Bersambung....

p/s:Nahhh...utk yang lama menunggu. sorry sangat2 sebab lambat update sebab banyak benda nak kena buat jadi takde masa sangat nak menulis sekarang huhu....*baca bawah pulak hehe


Ejaz n Warda in d houzzzzz...................................jgn lupa dapatkan 'SURI HATI MR.PILOT' iaitu novel keempat dari dila ok. boleh beli direct daripada Kaki Novel ok. just masuk je dekat page faceebook kaki novel orite ^^

Tuesday 15 March 2016

FINALLY HERE!!! SURI HATI MR.PILOT

ALHAMDULILLAH....syukur akhirnya yang ditunggu2 selama ini keluar jugak. nak tau apa?

Taraaaaaaaaaa.....



suka x??? Ejaz n Warda muncul jua akhirnya. Dila mintak maaf banyak2 buat yang lama menunggu cerita ni keluar. nakl hasilkan sesuatu yang kebabomm biasa mengambil masa yang lama kan haha >_<

untuk pre-order boleh dibuat di laman web kaki novel, atau masuk je dekat page KAKI NOVEL di facebook korang, beli kombo rege lg murah okai.

last but not lease...terima kasih banyak2 buat semua yang menyokong dila selama ni, yang x putus2 beri sokongan dalam setiap cerita yang dibuat. hopefully sangat SURI HATI MR.PILOT ni akan memberi kepuasan pada korang yang dah lama sangat tunggu cerita ni keluar *ada ke yang tunggu haha T_T. lepas ni kita tunggu Zafeeq n Mia pulak dalam bentuk novel yang akan keluar Insha allah dlm awal tahun depan ^^

p/s: Dila akan datang ke sesi tandatangan kat PBAKL 2016 yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang nanti. 30 April (11.30 - 1.00 pm) sape yang nak jumpa, mai datang kita laga2 pipi pau ok!!