BAB 6
Setelah
siap menukar baju, jaket kulit hitamnya disarung ke tubuh. Bag galas atas
kerusi disambar Zafeeq. Kabinet besi diketuknya menarik perhatian beberapa
stafnya yang masih menyudahkan kerja.
“Saya
nak balik dulu. Daging dengan seafood
yang baru sampai tu jangan lupa masukkan dalam freezer sebelum semua balik. Faham?”
“Yes Chef.” Bergema suara stafnya
menyambut.
Dia
mula bergerak ke lobi hotel sambil berbalas whatapps
dengan Khairil. Lif ditekannya untuk turun ke basement. Sebaik kepalanya dipanggung ke depan, dilihat Mia sedang
berdiri di hadapan lif VVIP. Gadis itu memandangnya kejap sebelum membolos
masuk ke dalam perut lif. Samar-samar
dapat dilihat senyum kecil yang terbentuk dibibir mungil itu tadi. Senyum dekat
aku ke?
Sebaik
pintu lif terbuka, segera dia masuk dan turun ke tempat parkir bawah. Dua minit
kemudian Zafeeq tiba di hadapan motosikalnya yang diparkir di tempat letak
motor berdekatan lif. Jatuh rahang dia melihat kedua-dua tayar motor Ducati Superbike
959 Panigale miliknya itu sudah kempis tanpa angin. kepala yang tak gatal digaru kuat. Ni dah macam mana pulak boleh kempis ni? pagi tadi elok aje. Beberapa minit kemudian
kedengaran bunyi kereta berhenti dibelakangnya.
“Ada
apa I boleh tolong?”
Sebaik
terdengar suara gemersik penuh menggoda itu Zafeeq berpaling ke belakang.
Dilihat kereta Audi TT mewah sudah terpacak megah di situ, dengan empunya kereta
yang tersenyum memandangnya. Senyuman yang penuh makna tersirat.
Mia!
Dia cukup yakin kalau gadis itu yang sengaja memperdajalkan motor kesayangannya
itu. Dia turut balas senyum, tak mahu cepat melatah.
“Boleh...
tolong pergi dari sini kalau setakat you nak tayang senyuman you yang cantik
tu!” balas Zafeeq sarkastik.
Mia ketap bibir kuat. Terkena lagi!
“Kalau
you nak, I boleh tolong hantarkan you balik,” usul Mia lagi penuh menggoda, tak
mahu mengalah. Melihat muka ketat yang terlukis diwajah kacak itu dia
menyambung sendiri.
“I think it is no right?” Bahu diangkat
seolah mengalah. “Never mind, kalau
orang dah tak sudi.” Tingkap keretanya dinaikkan semula. Gear dimasuk, dan baru
sedikit pedal minyak ditekan, tiba-tiba Zafeeq muncul di hadapan kereta. Terus
brek ditekannya secara mengejut. Berdetak kuat jantungnya dengan rasa takut dan
terkejut. Nasib baik dia sempat menekan brek
Dilihat
lelaki itu mula bergerak laju ke arah pintu penumpang sebelahnya. Dahinya mula
berkerut. Dengan riak penuh selamba, lelaki itu membuka pintu kereta dan terus membolos
masuk ke kerusi di sebelahnya tanpa sempat dia menghalang.
Zafeeq
menoleh ke arah Mia yang masih ternganga kecil. Mungkin terkejut kerana dia
menerima pelawaan gadis itu, walaupun dia sendiri tahu gadis itu bukan ikhlas
pun nak menghantarnya. Tak lain tak bukan, sengaja nak menyakitkan hatinya. Direnung
raut mulus itu seketika.
“Damansara
Perdana please.”
Mia
yang terbuai seketika dengan renungan mata hitam itu tadi cepat-cepat mengalih semula
matanya ke depan sebaik suara garau itu kedengaran. Kalut. Dia berdehem kecil
sebelum lambat-lambat pedal brek dilepasnya. Kereta mula meluncur laju keluar
dari basement hotel dan masuk ke
jalan raya.
Hampir
setengah jam kemudian, kereta dihentikan tepat di hadapan rumah dua tingkat
yang terletak di Taman Mutiara, Damansara Perdana itu. Kepalanya disengetkan sedikit
untuk melihat sekeliling rumah itu yang nampak sunyi.
“Kenapa?
I bukannya anak orang kaya macam you yang ada banglo besar sepuluh tingkat siap
ada lif. I orang biasa aje.” Zafeeq tiba-tiba berkata. Bag galas dibawah kaki
ditarik ke riba.
Mia
ketap bibir. Tahu sangat kalau jejaka itu sengaja nak memerlinya, padahal dia
tak komen apa-apa pun!
Seat belt
dibuka Zafeeq. Baru nak ditolak pintu kereta, dilihat pintu pagar sudah dibuka
dan muncul seorang wanita dalam lingkungan umur 50-an dari situ.
“Thanks,” ucapnya belum cepat-cepat
melompat keluar.
“Lambatnya
balik...” Puan Baizura, umi Zafeeq mula menyapa.
Zafeeq
tarik sengih sebelum mencapai tangan itu dan dikucupnya. “Tayar motor pancit la
umi, itu yang lambat tu.”
Puan
Baizura lepas nafas lega.
“You...”
Zafeeq
menoleh bila suara Mia kedengaran menyeru. Dia memandang pelik. Beberapa saat
kemudian, dilihat tangan itu menghulur keluar jaket dan sapu tangan yang diberinya
hampir seminggu lalu. Tanpa teragak dia mengambil semula barang miliknya itu.
“Ni...
dah basuh ke belum ni?” Soal Zafeeq sengaja nak memancing muka cemberut gadis
itu.
“Dah
la!” balas Mia bunyi sebal.
Pandangan
Puan Baizura bertembung dengan sepasang mata milik gadis cantik itu. Dia
tersenyum kecil dan dibalas si gadis sebelum kereta mewah itu berlalu pergi.
Terbentuk kerutan kecil di dahi itu. Mereka beriringan masuk ke dalam rumah.
“Siapa budak perempuan yang hantar Zaf tadi tu?” Soal Puan Baizura pada Zafeeq yang sedang
membuka kasut depan pintu.
“Owh...
anak Tan Sri,” jawab zafeeq tanpa berselindung.
“Tan
Sri Jamaluddin?” Tanya Puan Baizura lagi.
Zafeeq
angguk tanpa syak apa-apa.
Terangguk-angguk
Puan Baizura mendengar pengakuan itu. “Cantik. Kalau bertudung lagi cantik
agaknya. Kenapa tiba-tiba pulak budak tu hantar Zaf? Kenapa tak suruh Khairil
je tumpangkan?”
“Khairil
balik cepat tadi, anak dia masuk hospital suspek denggi. Kebetulan Cik Mia tu
lalu masa Zaf dekat kawasan parking
tadi, tu yang dia tawar diri nak hantar tu.” Ceritanya. Melihat kening uminya
yang sudah ternaik sebelah itu dia lepas nafas. Seakan dapat diagak apa yang
bermain di kepala uminya itu.
“Dah
la umi... Zaf takde apa-apa la dengan Cik Mia tu. Bukan taste Zaf pun!” tekannya bersungguh.
“Iyelah
tu. Ni... kenapa tak balik kondo aje? Telefon pun tidak, tiba-tiba dah terpacak
depan rumah,” bebel Puan Baizura.
“Rindu
la nak makan masakan umi.”
Tersenyum
lebar Puan Baizura mendengar jawapan itu. “Jom, umi dah siap masak dah tu.
Tunggu abah balik dari surau je, lepas tu kita boleh makan.” Tangan itu ditarik
ke arah tangga. “Pergi mandi dulu, masam!”
Zafeeq
tersengih kambing. “Masam-masam pun umi sayang jugak kan?!”
“Iyelah...pergi
mandi cepat!”
Malas-malas
Zafeeq panjat tangga untuk naik keatas.
“Zaf...”
Dia
menoleh bila namanya diseru semula. “Hurm...”
“Papa
dengan mama dah sampai pukul enam
petang tadi. Jangan lupa call mama,
karang merajuk pulak dia nanti,” pesan Puan Baizura. Zafeeq bukanlah anaknya,
tapi anak saudaranya. Atau lebih tepat lagi anak abangnya. Tapi disebabkan
hubungan rapat mereka dua keluarga kerana dia dua beradik saja dengan abangnya,
jadi Zaf sudah terbiasa memanggil dia dan suaminya sebagai umi dan abah.
Lagipula mereka masih belum dikurniakan anak lagi walaupun rumah tangga mereka
sudah menginjak hampir 28 tahun. Dia anggap itu semua sebagai ujian. Mujur ada
anak-anak abangnya yang selalu menyerikan kehidupan mereka suami isteri,
tidaklah mereka berasa sunyi.
Zafeeq
tarik senyum. “Okay umi.”
Sebaik
Zafeeq merebahkan badannya ke tilam, Iphone dalam kocek ditarik keluar dan
nombor mama didial. Beberapa saat kemudian, terdengar suara dihujung sana.
“Assalamualaikum
ma...”
“Waalaikumsalam
anak bertuah... kata hari tu nak jemput papa mama dekat airport. Berjanggut mama tunggu tadi.” Tu dia... suara Datin Dr.
Maisarah, mamanya sudah menujah kuat lubang telinga anak bongsunya itu.
“Sorry ma... Zaf lupa. Tadi banyak orang
dekat restoran. Lagipun Pak Hamdan kan ada. Exaggerate
jela mama ni,” balasnya dengan cebikan bibir.
“Tu
dekat mana tu? Kondo?”
“Dekat
rumah umi. Esok Zaf balik Bangi," ujar Zafeeq nada memujuk lembut. Dia langsung tak
teringat kalau petang ini papa mamanya akan balik dari lawatan hampir seminggu
ke London atas urusan kerja di sana.
“Yela,
tolong kirimkan salam mama dekat umi dengan abah. Ica dengan Hazim pun ada
dekat rumah ni.”
“Along
balik ke? Ala... ni yang buat Zaf rasa nak terbang balik sana ni. Rindu nak
gomol anak sedara Zaf,” rengek Zafeeq manja. Masakan tak manja kalau dah
namanya anak bongsu.
“Tak
payah! Dah malam dah ni, bahaya. Esok je datang sini. Along kamu tidur sini
malam ni sampai esok.” Kemudian Dr Maisarah terdiam seketika. “Zaf...”
“Ye
ma...”
“Bila
Zaf nak masuk hospital tolong papa mama, abang dengan kakak semua? Sampai bila
nak makan gaji, bekerja dekat hotel tu? Papa dengan mama boleh bagi gaji berganda lagi
kalau Zaf masuk semula kerja di hospital.” tekan Dr. Maisarah bersungguh.
Lidah
Zafeeq kelu serta merta. Bila masuk bab isu berbangkit ni Zafeeq mula buntu
hendak menjawab. Mukanya diraup kasar dengan sebelah tangan.
“Ma...
mama tahu kan yang Zaf tak minat. Zaf suka dengan bidang yang Zaf ambil
sekarang. Zaf gembira bila orang suka makan makanan yang Zaf masak. Sama jugak
macam mama, seronok bila patient mama dah sembuh, macam tu jugak dengan Zaf. Bukan duit yang Zaf kesahkan,
tapi passion! Minat Zaf yang mendalam
dalam bidang masakan. Tolong la ma... jangan paksa Zaf. Lagipun abang kakak
semua kan ada tolong. Kalau kurang sorang, tak bagi efek apa-apa pun
kan.” Lembut dia memujuk supaya mamanya itu faham dengan minatnya.
Terdengar
bunyi keluhan kecil dihujung sana seolah pasrah. “Iyelah... mama faham. Tapi
papa tak semestinya faham.”
Giliran
Zafeeq pula lepas nafas bila memikirkan perihal papanya pula. papa, mama, dua
abang serta kakaknya, semuanya bergelar doktor pakar di hospital milik keluarga
mereka. Tapi dia yang si bongsu saja, entah kenapa minatnya tak terarah pada
bidang perubatan. Ijazah perubatan yang diperolehnya dari Newcastle University itu hanya menjadi penghuni kotak di bawah
katilnya di rumah banglo keluarganya di Bandar Baru Bangi sana. Ijazah yang
diambilnya hasil desakan papanya. Tapi awal-awal lagi sebelum dia melanjutkan
pelajaran dalam bidang perubatan itu, dia sudah membuat kata dua dengan papa.
Dia boleh ambil dan tamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan seperti
kehendak papanya, tapi dengan syarat, setelah habis pengajian, dia akan kejar
semula cita-citanya untuk menjadi seorang chef. Sebaik menamatkan housemanshipnya selama dua tahunnya di hospital, terus dia melanjutkan pelajarannya di
Paris dalam bidang pastri dan sajian barat.
Terdengar
bunyi keluhan kecil mamanya di hujung talian. “Takpe la sayang, nanti
pandai-pandai mama pujuk papa tu. Tu dah mandi ke belum tu?”
“Belum,”
Sambut Zafeeq.
“Dah,
pergi mandi. Mama pun nak turun bawah pergi siapkan makanan kejap.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Love you ma.”
“Love you too baby busuk!” Balas Dr
Maisarah mengundang ketawa kecil anak bongsu kesayangannya itu.
BAB 7
Pagi
sabtu itu, seawal jam 8 pagi lagi Mia sudah terpacak di lobi hotel. Santai
dengan jeans dan blouse kemeja putih
yang tersarung. Tak faham kenapalah papanya beria sangat memaksanya supaya
turut serta dalam charity event di
rumah anak yatim yang terletak di Kuala Kubu Bharu itu. Padahal banyak lagi
pekerja lain yang boleh pergi, tapi kenapa dia jugak?! Terpaksa dia cancel rancangannya untuk keluar dengan
Zatil dan Zira pagi ini.
“Tuan
puteri yang disayangi...”
Mia
kancing gigi sebaik suara garau itu mencecah gegendang telinganya. Tahu sangat
suara siapa yang memanggilnya itu. Pandangnya dialihkan dari skrin Iphone 6snya. Memandang lelaki itu
dengan riak tak puas hati.
“You
nampak tak semua orang tengah buat kerja sekarang ni? Ada ke yang you nampak
duduk melepak aje macam you?”
“So?” Mia naik kening cuba mencabar sabar
Zafeeq.
“So... tak pandai-pandai lagi ke nak cari
kerja? Dekat sana banyak lagi kotak yang nak kena angkat masuk dalam van,”
balas Zafeeq pedas.
Mia
lepas nafas bengang. Dalam ramai-ramai pekerja di hotel itu, hanya lelaki itu
saja yang berani membangkang, mematah dan mengarahnya sesuka hati. tak takut kena pecat agaknya!
Malas-malas dia
bangkit dari kerusi empuk tengah lobi itu. “I nak pergi bawak kereta. I tak nak
duduk berhimpit-himpit dalam van. Rimas.” Kata yang terlontar bukan berbaur
permintaan tapi lebih pada penyataan.
Zafeeq
tarik muka. “Suka hati you la, kalau tiba-tiba kereta you masuk parit I tak
jamin.”
Mia
tarik senyum. “You ikut I, okay.”
Zafeeq
tarik kerut. “Kenapa pulak?”
“I
mana tahu jalan.” Tekan Mia dengan kerut di dahi.
“Ajak
jela PA you,” tolak Zafeeq.
“Nadhrah
tu lagi la buta arah! Ajak dia pergi Puchong pun sampai sejam I berpusing dalam
KL lagi,” rungut Mia bila teringatkan appoinmentnya
dengan Datuk David yang terlambat hampir setengah jam minggu lepas. Nasib baik
Datuk David tu bukan jenis kerek.
Bebelan
bibir mungil itu meletus ketawa kecil Zafeeq. Akhirnya dia mengalah. Bila
melihat Mia yang mula mengatur langkah menuju ke pintu lobi itu dia bersuara
lagi.
“Wait...wait...”
Mia
menoleh dengan pelipis berkerut. “Apa lagi?! You ni macam nenek tua la!” Geram.
“Yang
you beria-ria sangat pakai stilleto merah you tu dah kenapa? Ingat kita nak
pergi catwalk atas pentas ke? Kasut
sukan you takde ke?” Zafeeq menegur bila ternampak stilleto merah yang elok saja tersarung di kaki panjang lagak model
gadis itu. Memanglah cantik, seksi, tapi kalau ada yang jatuh tergolek macam
nangka busuk nanti, siapa jugak yang malu?
“Eii...
bising la you ni!” Marah Mia sebelum berlalu laju meninggalkan Zafeeq. Makin
lama dia di situ karang, makin banyak pula komen yang keluar dari mulut itu. Sehari
tak tengok dia senang, tak boleh agaknya! Grrr...
Hampir
20 minit kemudian mereka mula bergerak bersama dua buah van hotel yang penuh
dengan barang untuk dibawa ke rumah anak yatim Al-Khausar yang terletak di
Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor itu.
“You
baru dapat lesen ke apa ni? Nama aje kereta sport, tapi lambat macam kereta
sorong.” Stress dia melihat cara
gadis itu memandu. Van mereka pun sudah lama hilang dari
pandangan.
Mia
ketap bibir. Boleh berdarah telinganya kalau tiap masa mendengar suara itu
membebel di tepi telinganya. Sudahnya diputar setereng dan kereta dihentikan ke
bahu jalan.
“You
pandai sangat memandu kan? Ha... bawak la sendiri! calar kereta I, sepuluh
bulan gaji you I potong!”
“Takde
masalah. Turun!” Sahut Zafeeq berani. Terus mereka bertukar tempat duduk. Apa
ingat aku takde kereta sport ke dekat rumah?! Malas nak menunjuk aje. Kerja
dekat KL ni elok lagi bawak motor, takde la sangkut jemmed.
Hampir
sejam memandu akhirnya mereka tiba di Rumah Anak Yatim Al-Khausar. Letak Ray
Ban aviator yang tersangkut di batang hidung itu dibetul Mia. Panas terik yang
memancar membuatkan matanya mengecil seketika. Peluh yang mula merenik kecil
didahinya itu mula buat dia kerimasan.
Tanpa
memandang Mia, terus Zafeeq bergerak kearah van dan mula mengangkat semua
kotak-kotak berisi beras, makanan dan beberapa keperluan lagi yang disumbang
oleh pihak mereka itu ke dalam dewan makan tak jauh dari situ. Hari ini juga
mereka akan bergotong royong memasak makan tengah hari untuk kesemua hampir 156
anak yatim yang berada di situ.
Mia
mula bergerak ke bawah pohon rendang di situ berteduh dari panas. Iphone dalam kocek jeansnya tiba-tiba
berbunyi. Zatil!
Sedang
dia berlawan bicara dengan Zatil di sana, tiba-tiba perutnya terasa senak
dilanggar benda keras. Terlepas Iphone 6snya dari jari. Sebaik dilarikan bola
matanya ke bawah, dilihat seorang kanak-kanak perempuan sudah jatuh terduduk ke
tanah.
“Eiii... menyusahkan
la!” Dengus Mia kasar seraya menepis-nepis seluar jeansnya. Iphonenya diambil
laju. Langsung tak terkesan dengan riak mendung anak kecil itu.
Zafeeq
yang kebetulan terlihat kejadian itu, segera meletak tray berisi penuh dengan buah
tembikai itu ke bawah tanah dan terus mendapatkan anak kecil itu. Mia yang
sedang berpeluk tubuh dengan muka berlagak itu dicerlung tajam.
“Mia...
kalau you datang sini setakat nak tayang perangai diva you depan budak-budak ni
semua, baik you tak payah datang la! Menyusahkan semua orang aje tau tak!” laju
saja mulut Zafeeq melepas berkata berbaur marah.
Naik
terkedu Mia dibuatnya. merah padam mukanya menahan malu diherdik sebegitu
sekali di depan anak kecil itu. “I...”
“I
tak tahulah kenapa hati you kering sangat. Langsung takde belas kasihan dengan
budak kecil macam ni sekalipun!” Dia berdiri tegak semula seraya mengendong
anak kecil itu ke dalam pelukan. Mia ditentang. “Kalau betul pun you rimas
dengan budak-budak kecil ni semua, I mintak tolong satu hari ni aje. Tolonglah
simpan rasa rimas you tu sekejap. Budak-budak ni semua anak yatim piatu. Dia
orang ni bukannya nak apa pun, cuma nakkan senyuman dan rasa kasih sayang aje.
Takkan itu pun you tak boleh nak bagi?!”
Tersentak
Mia, seolah-olah satu tumbukan kuat dilepaskan tepat ke jantungnya. Rasa
bersalah mula menerjah. Sedangkan dia yang sudah dewasa ini pun masih rindu
dengan belaian dan kasih sayang arwah mamanya, inikan pula anak-anak kecil yang
tak berdosa ni? Tapi belum sempat mulutnya dibuka, lelaki itu sudah pergi
meninggalkannya.
Sudahnya
sepanjang hari itu Mia rasa terasing. Zafeeq langsung tak sudi memandangnya
walaupun sekejap. Anak-anak yatim di situ pun seolah-olah takut nak dekat
padanya. Pandang dia, macam pandang alien berkepala empat pulak. Apa garang
sangat ke muka aku ni?
Sewaktu
cikgu-cikgu dan Zafeeq mengagih makanan pada anak-anak yatim itu pun dia hanya
duduk ditepi memerhati. Canggung rasanya bila cikgu-cikgu yang lain juga seolah
melepas pandangan lain macam padanya. Akhirnya dia ambil keputusan untuk
berlalu keluar.
Duduknya
dilabuhkan ke kerusi buaian di halaman luar bangunan dewan makan itu. Nasi
bungkus ditangan dibuka dan satu persatu sudu mula masuk ke mulutnya. Tiba-tiba
bunyi esakan halus menampan telinga. Saat kepala dipaling ke belakang, dilihat
seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan umur lima tahun sedang menangis
di bawah meja batu tak jauh dari situ. Bingkas dia bangun merapat dan turun
mencangkung.
“Hei...buat
apa dekat sini? Kenapa tak pergi makan dengan kawan-kawan?” Tegur Mia sebaik
wajah kecil itu mengangkat muka. Naik belas dia melihat wajah yang lencun
dengan air mata itu.
Si
anak kecil menggeleng. “Tia tak nak makan, Tia nak tunggu umi dengan abah.
Cikgu kata nanti abah umi nak datang ambil Tia, tapi sampai sekarang tak
datang...”
Bicara
sayu itu berjaya menyiat hati kecil Mia. Naik bergenang air matanya. Dia sudah
maklum kalau rata-rata anak disini sudah bergelar yatim piatu yang kematian ibu
bapa. Tapi bila memikirkan anak kecil ini sudah kehilangan kedua ibu bapanya
dalam usia sebegini, hatinya dipagut sayu yang bukan kepalang. Tanpa berlengah,
terus bekas polisterine ditangannya diletak atas meja, dan anak kecil bernama
Tia itu didukung dan diletak atas kerusi. Dia mencangkung betul-betul dihadapan
anak itu. Air mata dipipi gebu itu dikesat dengan jari.
“Tia
nak jumpa umi dengan abah tak?” Mia menyoal. Laju anak kecil itu angguk.
“Ha...kalau
Tia nak jumpa umi dengan abah. Tia kena makan dulu, kalau tak mesti umi dengan
abah Tia sedih kalau Tia tak nak makan.” Nasi di sudu dan disua ke mulut kecil
itu.
“Tapi
kalau umi dengan abah tak balik jugak ambil Tia macam mana?”
Mia
terdiam. Tak lepas disorot mata berair jernih itu. Bibir diketap kuat.
“Mungkin...
mungkin sebab Tia nakal kot, tak nak kawan dengan kawan-kawan yang lain, tak
nak makan. Sebab tu umi, abah Tia tak nak datang. Tapi... kalau Tia jadi budak
baik, mesti umi abah akan datang nanti.” Pujuknya lembut. Sekali lagi disua
sudu di tangannya. Lambat-lambat, akhirnya mulut kecil itu dibuka.
“Ermm...
kalau makan macam ni, baru la badan sihat nak tunggu abah umi Tia nanti,” ujar
Mia lagi seraya menerus suapan.
Tanpa
sedar, gelagat keduanya itu jadi perhatian sepasang mata tak jauh dari
situ. Siapa lagi kalau bukan Zafeeq. Tak lepas matanya memandang dari jauh
seulas bibir yang cukup berat tersenyum itu, tapi sekarang senyuman itu nampak
sangat manis dan ikhlas di matanya. Sesaat kemudian, berdesup mata mereka
bersabung bila Mia mendongak ke arahnya.
Terkesima Zafeeq seketika. Cepat-cepat langklah diatur kalut menghala ke arah van
hotel yang diparkir di bawah pokok sana dengan tray besi di tangan.Entah kenapa ada debar yang memalu kuat dadanya tiba-tiba.
Petang
itu mereka mengadakan acara sukaneka untuk anak-anak itu. Hamper-hemper hadiah
juga sudah siap disusun diatas meja ditepi padang itu. Mia hanya duduk di tepi
memerhati zafeeq, beberapa staf dan cik-cikgu yang ikut serta dalam acara-acara
sukaneka yang sudah disediakan itu. Tanpa sedar dia tersenyum melihat gelagat mereka semua. Main mengalahkan budak-budak!
Zafeeq
memanggil seorang budak lelaki dan membisikkan sesuatu ke telinga itu seraya
memuncung kearah Mia ditepi sana. Kemudian terkedek-kedek budak itu berlari
mendapatkan Mia.
Mia
yang terpinga-pinga bila tangannya ditarik-tarik kanak-kanak lelaki itu terpaksa
bangkit dari duduknya dan bergerak ke tengah padang.
“You
nak I buat apa ni?” Soalnya sebaik tiba di sisi Zafeeq.
“Main
la, buat apa you datang sini kalau setakat nak duduk dekat tepi tu. You sebagai
bos kena la sporting sikit,” balas
Zafeeq selamba. Pekerja lain yang terdengar turut tersengih mengangguk. Nak tak
nak terpaksa juga Mia turut serta.
Setelah
mereka dibahagiakan kepada lima kumpulan, mereka mula beratur dalam barisan
masing-masing. Mia dan Zafeeq berdiri di belakang sekali memandangkan mereka
berkumpulan dengan anak-anak kecil itu.
“Okay...
sekarang kita teruskan dengan acara cari gula-gula dalam tepung. Satu saja
syarat dikenakan iaitu peserta semua tak boleh menggunakan tangan, dan hanya
boleh menggunakan mulut saja. Faham tak adik-adik?” laung Razak selaku MC yang
dilantik dalam acara ini.
“Faham!!!”
Sahut suara anak-anak itu penuh semangat dan ceria.
“Huh?”
Mia sudah melopong besar. Kena tiup tepung? Habis la mekapnya! Tapi bila
melihat kening Zafeeq yang terjungkit memandangnya seolah-olah mencabar itu,
dia tahu dia tak boleh tarik diri dah!
Lantas
getah rambut dipergelangan tangan ditarik dan diikat ala kadar rambut
panjangnya itu. Sebaik bunyi wisel dibunyikan, dia mula memberi sorakan buat
ahli kumpulannya itu. Dia dan Zafeeq mula berlari dalam waktu yang sama. Sedang
dia bersungguh-sungguh meniup tepung dalam pinggan kertas itu mencari
gula-gula, tiba-tiba kepala dan badannya disimbah tepung dari semua arah. Tak
cukup dengan itu, air paip pula dipancut padanya hingga basah lencun dibuatnya.
Terus
mengaku dia di tengah situ, terkejut dengan apa yang berlaku. Dilihat semua disekelilingnya itu sudah
tergelak kuat mengetawakannya, termasuklah Zafeeq yang memancutnya dengan air
paip tadi.
Seminit
kemudian keadaan mula bertukar sunyi bila mukanya mula masam mencuka. Mencerun
garang memandang setiap wajah yang mentertawakannya itu. Anak
kecil dikeliling yang masih terbahak mentertawakannya itu juga turut dipandang
tajam sampai terdiam semuanya ketakutan. Tapi lambat-lambat sengih mula
tertarik di hujung bibirnya. Pili paip ditangan zafeeq dirampas laju dan habis
disembur semua disitu dengan air termasuklah zafeeq. Habis semuanya terjerit
tertawa dan bertempiaran lari disembur air olehnya termasuklah Zafeeq. Ini
pertama kali hatinya terasa begitu lapang dan gembira sejak perpisahannya
dengan Danny dulu. Gembira mendengar gelak tawa dan senyuman lebar yang terukir
di bibir anak-anak kecil itu.
Zafeeq
turut tergelak melihat wajah ceria anak-anak kecil yang dirai itu. Seketika
kemudian tawanya terhenti. Sepasang matanya terpaku pada senyuman yang dilorek si cantik manis itu. Pertama kali dia melihat Mia tertawa gembira, lari
dari kebiasaanya yang selalu bermuka serius dan ketat. Terasa dirinya seakan terpukau dek senyuman manis di bibir mungil itu.
Entah
kenapa ada rasa yang berpuput dibenaknya, namun dia sendiri tak pasti apa.
Tapi apa yang lebih menjadi tanda tanyanya, kenapa gadis itu selalu berselindung
disebalik perangai kasar dan garangnya itu, walhal sebenarnya banyak sifat
lembut seorang wanita yang ada dalam diri gadis itu yang mampu dilihat dibalik kaca
mata lelakinya.
Tiba-tiba
mata mereka bertembung pandang. Mia terhenti ketawa. Zafeeq melontar senyum
kecil dan turut dibalas Mia sebelum gadis itu terlebih dulu mengalih pandang ke
arah lain. Belakang kepala digaru Zafeeq. Gusar dengan maksud perasaanya ini.
Bersambung....
P/S: Sudi2 tinggalkan komen ^^
5 comments:
Akak pulak xcited dgn perkembangan Zafeeq n Mia ni ������
Cinta dah berputik yaaaa.....
best 3x.
kak dila... bila nak sambung?? T_T
rindu dgn zafeeq n mia... huhu...
Betull..rindu sangat..
Nk lg please..
Post a Comment