Wednesday 10 February 2016

Manisnya Souffle' - BAB 6&7




BAB 6

Setelah siap menukar baju, jaket kulit hitamnya disarung ke tubuh. Bag galas atas kerusi disambar Zafeeq. Kabinet besi diketuknya menarik perhatian beberapa stafnya yang masih menyudahkan kerja.

“Saya nak balik dulu. Daging dengan seafood yang baru sampai tu jangan lupa masukkan dalam freezer sebelum semua balik. Faham?”

Yes Chef.” Bergema suara stafnya menyambut.

Dia mula bergerak ke lobi hotel sambil berbalas whatapps dengan Khairil. Lif ditekannya untuk turun ke basement. Sebaik kepalanya dipanggung ke depan, dilihat Mia sedang berdiri di hadapan lif VVIP. Gadis itu memandangnya kejap sebelum membolos masuk ke dalam perut lif.  Samar-samar dapat dilihat senyum kecil yang terbentuk dibibir mungil itu tadi. Senyum dekat aku ke?

Sebaik pintu lif terbuka, segera dia masuk dan turun ke tempat parkir bawah. Dua minit kemudian Zafeeq tiba di hadapan motosikalnya yang diparkir di tempat letak motor berdekatan lif. Jatuh rahang dia melihat kedua-dua tayar motor Ducati Superbike 959 Panigale miliknya itu sudah kempis tanpa angin. kepala yang tak gatal digaru kuat. Ni dah macam mana pulak boleh kempis ni? pagi tadi elok aje. Beberapa minit kemudian kedengaran bunyi kereta berhenti dibelakangnya.

“Ada apa I boleh tolong?”

Sebaik terdengar suara gemersik penuh menggoda itu Zafeeq berpaling ke belakang. Dilihat kereta Audi TT mewah sudah terpacak megah di situ, dengan empunya kereta yang tersenyum memandangnya. Senyuman yang penuh makna tersirat.

Mia! Dia cukup yakin kalau gadis itu yang sengaja memperdajalkan motor kesayangannya itu. Dia turut balas senyum, tak mahu cepat melatah.

“Boleh... tolong pergi dari sini kalau setakat you nak tayang senyuman you yang cantik tu!” balas Zafeeq sarkastik.

Mia ketap bibir kuat. Terkena lagi!

“Kalau you nak, I boleh tolong hantarkan you balik,” usul Mia lagi penuh menggoda, tak mahu mengalah. Melihat muka ketat yang terlukis diwajah kacak itu dia menyambung sendiri.

I think it is no right?” Bahu diangkat seolah mengalah. “Never mind, kalau orang dah tak sudi.” Tingkap keretanya dinaikkan semula. Gear dimasuk, dan baru sedikit pedal minyak ditekan, tiba-tiba Zafeeq muncul di hadapan kereta. Terus brek ditekannya secara mengejut. Berdetak kuat jantungnya dengan rasa takut dan terkejut. Nasib baik dia sempat menekan brek

Dilihat lelaki itu mula bergerak laju ke arah pintu penumpang sebelahnya. Dahinya mula berkerut. Dengan riak penuh selamba, lelaki itu membuka pintu kereta dan terus membolos masuk ke kerusi di sebelahnya tanpa sempat dia menghalang.

Zafeeq menoleh ke arah Mia yang masih ternganga kecil. Mungkin terkejut kerana dia menerima pelawaan gadis itu, walaupun dia sendiri tahu gadis itu bukan ikhlas pun nak menghantarnya. Tak lain tak bukan, sengaja nak menyakitkan hatinya. Direnung raut mulus itu seketika.

“Damansara Perdana please.”

Mia yang terbuai seketika dengan renungan mata hitam itu tadi cepat-cepat mengalih semula matanya ke depan sebaik suara garau itu kedengaran. Kalut. Dia berdehem kecil sebelum lambat-lambat pedal brek dilepasnya. Kereta mula meluncur laju keluar dari basement hotel dan masuk ke jalan raya.

Hampir setengah jam kemudian, kereta dihentikan tepat di hadapan rumah dua tingkat yang terletak di Taman Mutiara, Damansara Perdana itu. Kepalanya disengetkan sedikit untuk melihat sekeliling rumah itu yang nampak sunyi.

“Kenapa? I bukannya anak orang kaya macam you yang ada banglo besar sepuluh tingkat siap ada lif. I orang biasa aje.” Zafeeq tiba-tiba berkata. Bag galas dibawah kaki ditarik ke riba.

Mia ketap bibir. Tahu sangat kalau jejaka itu sengaja nak memerlinya, padahal dia tak komen apa-apa pun!

Seat belt dibuka Zafeeq. Baru nak ditolak pintu kereta, dilihat pintu pagar sudah dibuka dan muncul seorang wanita dalam lingkungan umur 50-an dari situ.

Thanks,” ucapnya belum cepat-cepat melompat keluar.

“Lambatnya balik...” Puan Baizura, umi Zafeeq mula menyapa.

Zafeeq tarik sengih sebelum mencapai tangan itu dan dikucupnya. “Tayar motor pancit la umi, itu yang lambat tu.”

Puan Baizura lepas nafas lega.

“You...”

Zafeeq menoleh bila suara Mia kedengaran menyeru. Dia memandang pelik. Beberapa saat kemudian, dilihat tangan itu menghulur keluar jaket dan sapu tangan yang diberinya hampir seminggu lalu. Tanpa teragak dia mengambil semula barang miliknya itu.

“Ni... dah basuh ke belum ni?” Soal Zafeeq sengaja nak memancing muka cemberut gadis itu.

“Dah la!” balas Mia bunyi sebal.

Pandangan Puan Baizura bertembung dengan sepasang mata milik gadis cantik itu. Dia tersenyum kecil dan dibalas si gadis sebelum kereta mewah itu berlalu pergi. Terbentuk kerutan kecil di dahi itu. Mereka beriringan masuk ke dalam rumah.

“Siapa budak perempuan yang hantar Zaf tadi tu?” Soal Puan Baizura pada Zafeeq yang sedang membuka kasut depan pintu.

“Owh... anak Tan Sri,” jawab zafeeq tanpa berselindung.

“Tan Sri Jamaluddin?” Tanya Puan Baizura lagi.

Zafeeq angguk tanpa syak apa-apa.

Terangguk-angguk Puan Baizura mendengar pengakuan itu. “Cantik. Kalau bertudung lagi cantik agaknya. Kenapa tiba-tiba pulak budak tu hantar Zaf? Kenapa tak suruh Khairil je tumpangkan?”

“Khairil balik cepat tadi, anak dia masuk hospital suspek denggi. Kebetulan Cik Mia tu lalu masa Zaf dekat kawasan parking tadi, tu yang dia tawar diri nak hantar tu.” Ceritanya. Melihat kening uminya yang sudah ternaik sebelah itu dia lepas nafas. Seakan dapat diagak apa yang bermain di kepala uminya itu.

“Dah la umi... Zaf takde apa-apa la dengan Cik Mia tu. Bukan taste Zaf pun!” tekannya bersungguh.

“Iyelah tu. Ni... kenapa tak balik kondo aje? Telefon pun tidak, tiba-tiba dah terpacak depan rumah,” bebel Puan Baizura.

“Rindu la nak makan masakan umi.”

Tersenyum lebar Puan Baizura mendengar jawapan itu. “Jom, umi dah siap masak dah tu. Tunggu abah balik dari surau je, lepas tu kita boleh makan.” Tangan itu ditarik ke arah tangga. “Pergi mandi dulu, masam!”

Zafeeq tersengih kambing. “Masam-masam pun umi sayang jugak kan?!”

“Iyelah...pergi mandi cepat!”

Malas-malas Zafeeq panjat tangga untuk naik keatas.

“Zaf...”

Dia menoleh bila namanya diseru semula. “Hurm...”

“Papa dengan mama dah sampai pukul enam petang tadi. Jangan lupa call mama, karang merajuk pulak dia nanti,” pesan Puan Baizura. Zafeeq bukanlah anaknya, tapi anak saudaranya. Atau lebih tepat lagi anak abangnya. Tapi disebabkan hubungan rapat mereka dua keluarga kerana dia dua beradik saja dengan abangnya, jadi Zaf sudah terbiasa memanggil dia dan suaminya sebagai umi dan abah. Lagipula mereka masih belum dikurniakan anak lagi walaupun rumah tangga mereka sudah menginjak hampir 28 tahun. Dia anggap itu semua sebagai ujian. Mujur ada anak-anak abangnya yang selalu menyerikan kehidupan mereka suami isteri, tidaklah mereka berasa sunyi.

Zafeeq tarik senyum. “Okay umi.”

Sebaik Zafeeq merebahkan badannya ke tilam, Iphone dalam kocek ditarik keluar dan nombor mama didial. Beberapa saat kemudian, terdengar suara dihujung sana.

“Assalamualaikum ma...”

“Waalaikumsalam anak bertuah... kata hari tu nak jemput papa mama dekat airport. Berjanggut mama tunggu tadi.” Tu dia... suara Datin Dr. Maisarah, mamanya sudah menujah kuat lubang telinga anak bongsunya itu.

Sorry ma... Zaf lupa. Tadi banyak orang dekat restoran. Lagipun Pak Hamdan kan ada. Exaggerate jela mama ni,” balasnya dengan cebikan bibir.

“Tu dekat mana tu? Kondo?”

“Dekat rumah umi. Esok Zaf balik Bangi," ujar Zafeeq nada memujuk lembut. Dia langsung tak teringat kalau petang ini papa mamanya akan balik dari lawatan hampir seminggu ke London atas urusan kerja di sana.

“Yela, tolong kirimkan salam mama dekat umi dengan abah. Ica dengan Hazim pun ada dekat rumah ni.”

“Along balik ke? Ala... ni yang buat Zaf rasa nak terbang balik sana ni. Rindu nak gomol anak sedara Zaf,” rengek Zafeeq manja. Masakan tak manja kalau dah namanya anak bongsu.

“Tak payah! Dah malam dah ni, bahaya. Esok je datang sini. Along kamu tidur sini malam ni sampai esok.” Kemudian Dr Maisarah terdiam seketika. “Zaf...”

“Ye ma...”

“Bila Zaf nak masuk hospital tolong papa mama, abang dengan kakak semua? Sampai bila nak makan gaji, bekerja dekat hotel tu? Papa dengan mama boleh bagi gaji berganda lagi kalau Zaf masuk semula kerja di hospital.” tekan Dr. Maisarah bersungguh.

Lidah Zafeeq kelu serta merta. Bila masuk bab isu berbangkit ni Zafeeq mula buntu hendak menjawab. Mukanya diraup kasar dengan sebelah tangan.

“Ma... mama tahu kan yang Zaf tak minat. Zaf suka dengan bidang yang Zaf ambil sekarang. Zaf gembira bila orang suka makan makanan yang Zaf masak. Sama jugak macam mama, seronok bila patient mama dah sembuh, macam tu jugak dengan Zaf. Bukan duit yang Zaf kesahkan, tapi passion! Minat Zaf yang mendalam dalam bidang masakan. Tolong la ma... jangan paksa Zaf. Lagipun abang kakak semua kan ada tolong. Kalau kurang sorang, tak bagi efek apa-apa pun kan.” Lembut dia memujuk supaya mamanya itu faham dengan minatnya.

Terdengar bunyi keluhan kecil dihujung sana seolah pasrah. “Iyelah... mama faham. Tapi papa tak semestinya faham.”

Giliran Zafeeq pula lepas nafas bila memikirkan perihal papanya pula. papa, mama, dua abang serta kakaknya, semuanya bergelar doktor pakar di hospital milik keluarga mereka. Tapi dia yang si bongsu saja, entah kenapa minatnya tak terarah pada bidang perubatan. Ijazah perubatan yang diperolehnya dari Newcastle University itu hanya menjadi penghuni kotak di bawah katilnya di rumah banglo keluarganya di Bandar Baru Bangi sana. Ijazah yang diambilnya hasil desakan papanya. Tapi awal-awal lagi sebelum dia melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan itu, dia sudah membuat kata dua dengan papa. Dia boleh ambil dan tamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan seperti kehendak papanya, tapi dengan syarat, setelah habis pengajian, dia akan kejar semula cita-citanya untuk menjadi seorang chef. Sebaik menamatkan housemanshipnya selama dua tahunnya di hospital, terus dia melanjutkan pelajarannya di Paris dalam bidang pastri dan sajian barat.

Terdengar bunyi keluhan kecil mamanya di hujung talian. “Takpe la sayang, nanti pandai-pandai mama pujuk papa tu. Tu dah mandi ke belum tu?”

“Belum,” Sambut Zafeeq.

“Dah, pergi mandi. Mama pun nak turun bawah pergi siapkan makanan kejap. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. Love you ma.”

Love you too baby busuk!” Balas Dr Maisarah mengundang ketawa kecil anak bongsu kesayangannya itu.





BAB 7

Pagi sabtu itu, seawal jam 8 pagi lagi Mia sudah terpacak di lobi hotel. Santai dengan jeans dan blouse kemeja putih yang tersarung. Tak faham kenapalah papanya beria sangat memaksanya supaya turut serta dalam charity event di rumah anak yatim yang terletak di Kuala Kubu Bharu itu. Padahal banyak lagi pekerja lain yang boleh pergi, tapi kenapa dia jugak?! Terpaksa dia cancel rancangannya untuk keluar dengan Zatil dan Zira pagi ini.

“Tuan puteri yang disayangi...”

Mia kancing gigi sebaik suara garau itu mencecah gegendang telinganya. Tahu sangat suara siapa yang memanggilnya itu. Pandangnya dialihkan dari skrin Iphone 6snya. Memandang lelaki itu dengan riak tak puas hati.

“You nampak tak semua orang tengah buat kerja sekarang ni? Ada ke yang you nampak duduk melepak aje macam you?”

So?” Mia naik kening cuba mencabar sabar Zafeeq.

So... tak pandai-pandai lagi ke nak cari kerja? Dekat sana banyak lagi kotak yang nak kena angkat masuk dalam van,” balas Zafeeq pedas.

Mia lepas nafas bengang. Dalam ramai-ramai pekerja di hotel itu, hanya lelaki itu saja yang berani membangkang, mematah dan mengarahnya sesuka hati. tak takut kena pecat agaknya!

Malas-malas dia bangkit dari kerusi empuk tengah lobi itu. “I nak pergi bawak kereta. I tak nak duduk berhimpit-himpit dalam van. Rimas.” Kata yang terlontar bukan berbaur permintaan tapi lebih pada penyataan.

Zafeeq tarik muka. “Suka hati you la, kalau tiba-tiba kereta you masuk parit I tak jamin.”

Mia tarik senyum. “You ikut I, okay.”

Zafeeq tarik kerut. “Kenapa pulak?”

“I mana tahu jalan.” Tekan Mia dengan kerut di dahi.

“Ajak jela PA you,” tolak Zafeeq.

“Nadhrah tu lagi la buta arah! Ajak dia pergi Puchong pun sampai sejam I berpusing dalam KL lagi,” rungut Mia bila teringatkan appoinmentnya dengan Datuk David yang terlambat hampir setengah jam minggu lepas. Nasib baik Datuk David tu bukan jenis kerek.

Bebelan bibir mungil itu meletus ketawa kecil Zafeeq. Akhirnya dia mengalah. Bila melihat Mia yang mula mengatur langkah menuju ke pintu lobi itu dia bersuara lagi.

Wait...wait...”

Mia menoleh dengan pelipis berkerut. “Apa lagi?! You ni macam nenek tua la!” Geram.

“Yang you beria-ria sangat pakai stilleto merah you tu dah kenapa? Ingat kita nak pergi catwalk atas pentas ke? Kasut sukan you takde ke?” Zafeeq menegur bila ternampak stilleto merah yang elok saja tersarung di kaki panjang lagak model gadis itu. Memanglah cantik, seksi, tapi kalau ada yang jatuh tergolek macam nangka busuk nanti, siapa jugak yang malu?

“Eii... bising la you ni!” Marah Mia sebelum berlalu laju meninggalkan Zafeeq. Makin lama dia di situ karang, makin banyak pula komen yang keluar dari mulut itu. Sehari tak tengok dia senang, tak boleh agaknya! Grrr...

Hampir 20 minit kemudian mereka mula bergerak bersama dua buah van hotel yang penuh dengan barang untuk dibawa ke rumah anak yatim Al-Khausar yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor itu.

“You baru dapat lesen ke apa ni? Nama aje kereta sport, tapi lambat macam kereta sorong.” Stress dia melihat cara gadis itu memandu. Van mereka pun sudah lama hilang dari pandangan.

Mia ketap bibir. Boleh berdarah telinganya kalau tiap masa mendengar suara itu membebel di tepi telinganya. Sudahnya diputar setereng dan kereta dihentikan ke bahu jalan.

“You pandai sangat memandu kan? Ha... bawak la sendiri! calar kereta I, sepuluh bulan gaji you I potong!”

“Takde masalah. Turun!” Sahut Zafeeq berani. Terus mereka bertukar tempat duduk. Apa ingat aku takde kereta sport ke dekat rumah?! Malas nak menunjuk aje. Kerja dekat KL ni elok lagi bawak motor, takde la sangkut jemmed.

Hampir sejam memandu akhirnya mereka tiba di Rumah Anak Yatim Al-Khausar. Letak Ray Ban aviator yang tersangkut di batang hidung itu dibetul Mia. Panas terik yang memancar membuatkan matanya mengecil seketika. Peluh yang mula merenik kecil didahinya itu mula buat dia kerimasan.

Tanpa memandang Mia, terus Zafeeq bergerak kearah van dan mula mengangkat semua kotak-kotak berisi beras, makanan dan beberapa keperluan lagi yang disumbang oleh pihak mereka itu ke dalam dewan makan tak jauh dari situ. Hari ini juga mereka akan bergotong royong memasak makan tengah hari untuk kesemua hampir 156 anak yatim yang berada di situ.

Mia mula bergerak ke bawah pohon rendang di situ berteduh dari panas. Iphone dalam kocek jeansnya tiba-tiba berbunyi. Zatil!

Sedang dia berlawan bicara dengan Zatil di sana, tiba-tiba perutnya terasa senak dilanggar benda keras. Terlepas Iphone 6snya dari jari. Sebaik dilarikan bola matanya ke bawah, dilihat seorang kanak-kanak perempuan sudah jatuh terduduk ke tanah.

“Eiii... menyusahkan la!” Dengus Mia kasar seraya menepis-nepis seluar jeansnya. Iphonenya diambil laju. Langsung tak terkesan dengan riak mendung anak kecil itu.

Zafeeq yang kebetulan terlihat kejadian itu, segera meletak tray berisi penuh dengan buah tembikai itu ke bawah tanah dan terus mendapatkan anak kecil itu. Mia yang sedang berpeluk tubuh dengan muka berlagak itu dicerlung tajam.

“Mia... kalau you datang sini setakat nak tayang perangai diva you depan budak-budak ni semua, baik you tak payah datang la! Menyusahkan semua orang aje tau tak!” laju saja mulut Zafeeq melepas berkata berbaur marah.

Naik terkedu Mia dibuatnya. merah padam mukanya menahan malu diherdik sebegitu sekali di depan anak kecil itu. “I...”

“I tak tahulah kenapa hati you kering sangat. Langsung takde belas kasihan dengan budak kecil macam ni sekalipun!” Dia berdiri tegak semula seraya mengendong anak kecil itu ke dalam pelukan. Mia ditentang. “Kalau betul pun you rimas dengan budak-budak kecil ni semua, I mintak tolong satu hari ni aje. Tolonglah simpan rasa rimas you tu sekejap. Budak-budak ni semua anak yatim piatu. Dia orang ni bukannya nak apa pun, cuma nakkan senyuman dan rasa kasih sayang aje. Takkan itu pun you tak boleh nak bagi?!”

Tersentak Mia, seolah-olah satu tumbukan kuat dilepaskan tepat ke jantungnya. Rasa bersalah mula menerjah. Sedangkan dia yang sudah dewasa ini pun masih rindu dengan belaian dan kasih sayang arwah mamanya, inikan pula anak-anak kecil yang tak berdosa ni? Tapi belum sempat mulutnya dibuka, lelaki itu sudah pergi meninggalkannya.

Sudahnya sepanjang hari itu Mia rasa terasing. Zafeeq langsung tak sudi memandangnya walaupun sekejap. Anak-anak yatim di situ pun seolah-olah takut nak dekat padanya. Pandang dia, macam pandang alien berkepala empat pulak. Apa garang sangat ke muka aku ni?

Sewaktu cikgu-cikgu dan Zafeeq mengagih makanan pada anak-anak yatim itu pun dia hanya duduk ditepi memerhati. Canggung rasanya bila cikgu-cikgu yang lain juga seolah melepas pandangan lain macam padanya. Akhirnya dia ambil keputusan untuk berlalu keluar.

Duduknya dilabuhkan ke kerusi buaian di halaman luar bangunan dewan makan itu. Nasi bungkus ditangan dibuka dan satu persatu sudu mula masuk ke mulutnya. Tiba-tiba bunyi esakan halus menampan telinga. Saat kepala dipaling ke belakang, dilihat seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan umur lima tahun sedang menangis di bawah meja batu tak jauh dari situ. Bingkas dia bangun merapat dan turun mencangkung.

“Hei...buat apa dekat sini? Kenapa tak pergi makan dengan kawan-kawan?” Tegur Mia sebaik wajah kecil itu mengangkat muka. Naik belas dia melihat wajah yang lencun dengan air mata itu.

Si anak kecil menggeleng. “Tia tak nak makan, Tia nak tunggu umi dengan abah. Cikgu kata nanti abah umi nak datang ambil Tia, tapi sampai sekarang tak datang...”

Bicara sayu itu berjaya menyiat hati kecil Mia. Naik bergenang air matanya. Dia sudah maklum kalau rata-rata anak disini sudah bergelar yatim piatu yang kematian ibu bapa. Tapi bila memikirkan anak kecil ini sudah kehilangan kedua ibu bapanya dalam usia sebegini, hatinya dipagut sayu yang bukan kepalang. Tanpa berlengah, terus bekas polisterine ditangannya diletak atas meja, dan anak kecil bernama Tia itu didukung dan diletak atas kerusi. Dia mencangkung betul-betul dihadapan anak itu. Air mata dipipi gebu itu dikesat dengan jari.

“Tia nak jumpa umi dengan abah tak?” Mia menyoal. Laju anak kecil itu angguk.

“Ha...kalau Tia nak jumpa umi dengan abah. Tia kena makan dulu, kalau tak mesti umi dengan abah Tia sedih kalau Tia tak nak makan.” Nasi di sudu dan disua ke mulut kecil itu.

“Tapi kalau umi dengan abah tak balik jugak ambil Tia macam mana?”

Mia terdiam. Tak lepas disorot mata berair jernih itu. Bibir diketap kuat.

“Mungkin... mungkin sebab Tia nakal kot, tak nak kawan dengan kawan-kawan yang lain, tak nak makan. Sebab tu umi, abah Tia tak nak datang. Tapi... kalau Tia jadi budak baik, mesti umi abah akan datang nanti.” Pujuknya lembut. Sekali lagi disua sudu di tangannya. Lambat-lambat, akhirnya mulut kecil itu dibuka.

“Ermm... kalau makan macam ni, baru la badan sihat nak tunggu abah umi Tia nanti,” ujar Mia lagi seraya menerus suapan.

Tanpa sedar, gelagat keduanya itu jadi perhatian sepasang mata tak jauh dari situ. Siapa lagi kalau bukan Zafeeq. Tak lepas matanya memandang dari jauh seulas bibir yang cukup berat tersenyum itu, tapi sekarang senyuman itu nampak sangat manis dan ikhlas di matanya. Sesaat kemudian, berdesup mata mereka bersabung bila Mia mendongak ke arahnya.

Terkesima Zafeeq seketika. Cepat-cepat langklah diatur kalut menghala ke arah van hotel yang diparkir di bawah pokok sana dengan tray besi di tangan.Entah kenapa ada debar yang memalu kuat dadanya tiba-tiba.

Petang itu mereka mengadakan acara sukaneka untuk anak-anak itu. Hamper-hemper hadiah juga sudah siap disusun diatas meja ditepi padang itu. Mia hanya duduk di tepi memerhati zafeeq, beberapa staf dan cik-cikgu yang ikut serta dalam acara-acara sukaneka yang sudah disediakan itu. Tanpa sedar dia tersenyum melihat gelagat mereka semua. Main mengalahkan budak-budak!

Zafeeq memanggil seorang budak lelaki dan membisikkan sesuatu ke telinga itu seraya memuncung kearah Mia ditepi sana. Kemudian terkedek-kedek budak itu berlari mendapatkan Mia.

Mia yang terpinga-pinga bila tangannya ditarik-tarik kanak-kanak lelaki itu terpaksa bangkit dari duduknya dan bergerak ke tengah padang.

“You nak I buat apa ni?” Soalnya sebaik tiba di sisi Zafeeq.

“Main la, buat apa you datang sini kalau setakat nak duduk dekat tepi tu. You sebagai bos kena la sporting sikit,” balas Zafeeq selamba. Pekerja lain yang terdengar turut tersengih mengangguk. Nak tak nak terpaksa juga Mia turut serta.

Setelah mereka dibahagiakan kepada lima kumpulan, mereka mula beratur dalam barisan masing-masing. Mia dan Zafeeq berdiri di belakang sekali memandangkan mereka berkumpulan dengan anak-anak kecil itu.

“Okay... sekarang kita teruskan dengan acara cari gula-gula dalam tepung. Satu saja syarat dikenakan iaitu peserta semua tak boleh menggunakan tangan, dan hanya boleh menggunakan mulut saja. Faham tak adik-adik?” laung Razak selaku MC yang dilantik dalam acara ini.

“Faham!!!” Sahut suara anak-anak itu penuh semangat dan ceria.

“Huh?” Mia sudah melopong besar. Kena tiup tepung? Habis la mekapnya! Tapi bila melihat kening Zafeeq yang terjungkit memandangnya seolah-olah mencabar itu, dia tahu dia tak boleh tarik diri dah!

Lantas getah rambut dipergelangan tangan ditarik dan diikat ala kadar rambut panjangnya itu. Sebaik bunyi wisel dibunyikan, dia mula memberi sorakan buat ahli kumpulannya itu. Dia dan Zafeeq mula berlari dalam waktu yang sama. Sedang dia bersungguh-sungguh meniup tepung dalam pinggan kertas itu mencari gula-gula, tiba-tiba kepala dan badannya disimbah tepung dari semua arah. Tak cukup dengan itu, air paip pula dipancut padanya hingga basah lencun dibuatnya.

Terus mengaku dia di tengah situ, terkejut dengan apa yang berlaku.  Dilihat semua disekelilingnya itu sudah tergelak kuat mengetawakannya, termasuklah Zafeeq yang memancutnya dengan air paip tadi.

Seminit kemudian keadaan mula bertukar sunyi bila mukanya mula masam mencuka. Mencerun garang memandang setiap wajah yang mentertawakannya itu. Anak kecil dikeliling yang masih terbahak mentertawakannya itu juga turut dipandang tajam sampai terdiam semuanya ketakutan. Tapi lambat-lambat sengih mula tertarik di hujung bibirnya. Pili paip ditangan zafeeq dirampas laju dan habis disembur semua disitu dengan air termasuklah zafeeq. Habis semuanya terjerit tertawa dan bertempiaran lari disembur air olehnya termasuklah Zafeeq. Ini pertama kali hatinya terasa begitu lapang dan gembira sejak perpisahannya dengan Danny dulu. Gembira mendengar gelak tawa dan senyuman lebar yang terukir di bibir anak-anak kecil itu.

Zafeeq turut tergelak melihat wajah ceria anak-anak kecil yang dirai itu. Seketika kemudian tawanya terhenti. Sepasang matanya terpaku pada senyuman yang dilorek si cantik manis itu. Pertama kali dia melihat Mia tertawa gembira, lari dari kebiasaanya yang selalu bermuka serius dan ketat. Terasa dirinya seakan terpukau dek senyuman manis di bibir mungil itu.

Entah kenapa ada rasa yang berpuput dibenaknya, namun dia sendiri tak pasti apa. Tapi apa yang lebih menjadi tanda tanyanya, kenapa gadis itu selalu berselindung disebalik perangai kasar dan garangnya itu, walhal sebenarnya banyak sifat lembut seorang wanita yang ada dalam diri gadis itu yang mampu dilihat dibalik kaca mata lelakinya.


Tiba-tiba mata mereka bertembung pandang. Mia terhenti ketawa. Zafeeq melontar senyum kecil dan turut dibalas Mia sebelum gadis itu terlebih dulu mengalih pandang ke arah lain. Belakang kepala digaru Zafeeq. Gusar dengan maksud perasaanya ini.

Bersambung....

P/S: Sudi2 tinggalkan komen ^^

5 comments:

Wan Azida said...

Akak pulak xcited dgn perkembangan Zafeeq n Mia ni ������

eifa said...

Cinta dah berputik yaaaa.....

Unknown said...

best 3x.

Anonymous said...

kak dila... bila nak sambung?? T_T
rindu dgn zafeeq n mia... huhu...

Unknown said...

Betull..rindu sangat..
Nk lg please..