Monday, 1 February 2016

Manisnya Souffle' - Bab 4&5




BAB 4

“Sudah la tu Mia, nak menangis sampai bila ni? Risau Mak Wan jadinya,” pujuk Mak Wan yang sudah hampir setengah jam duduk di birai katil mewah itu mengusap lembut kepala anak majikannya itu yang masih tak henti menangis.

“Mia malu Mak Wan, semua pekerja gelakkan Mia... mana Mia nak letak muka ni.” tersedu sedan suara sengau itu menjawab.

“Nak malu sampai bila? Takkan nak berhenti kerja pulak, tak kesian dekat papa?” Tak putus asa Mak Wan cuba memujuk.

Mendengar kata itu segera Mia angkat kepala dari bantal empuknya yang sudah basah lencun dengan air mata. Dia ketap bibir bila terbayang semula raut wajah itu. “Tak guna punya lelaki! Kau tengok la apa aku akan buat nanti!” ucap Mia penuh dendam dan sakit hati.

Mak Wan yang mendengar menggeleng kepala. “Mak Wan dengan arwah mama tak pernah ajar Mia untuk berdendam.”

“Tapi lelaki tu dah melampau!”

“Dia takkan bertindak melampau, kalau bukan Mia yang mulakan dulu.” dia dah cukup masak dengan sikap anak majikannya itu. Mustahillah budak lelaki tu nak bertindak sebegitu kalau bukan Mia yang menyucuknya dulu. gadis itu dicerun pandang. “Betul?”

Mia terus terdiam. Keningnya yang cantik terbentuk itu digaru dengan muka terkebil-kebil serupa orang bersalah.

“Tapi... bukan semuanya salah Mia pun, dah memang makanan tu tak kena dengan selera Mia.” Pandai dia beri alasan nak menangkan dirinya sendiri, walaupun dia sedar dia juga salah, mengamuk tak tentu pasal. Ni semua gara-gara si Ducati merah dengan si Julia tu, tak pasal-pasal moodnya ke laut hari ni!

Mak Wan mengusap rambut panjang itu. “Rezeki semuanya daripada Allah Mia. Makanan tu pun rezeki, mungkin pada Mia makanan tu tak sedap, tak kena dengan selera Mia. Tapi ramai lagi orang dekat luar sana yang hidup kebuluran. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Mia sepatutnya bersyukur sebab dilahir dalam keluarga yang serba sempurna macam ni. Apa yang Mia nak, semua boleh dapat. Tapi tak semua orang beruntung macam Mia. Ingat tu.” Lembut Mak Wan menasihat.

Lama Mia termenung memikirkan semula kesalahannya dan kata-kata Mak Wan itu. entah kenapa tiba-tiba benaknya diserang rasa bersalah. Tapi nak mintak maaf... habis la tercalar maruahnya!

Mungkin dekat pekerja lain dia boleh meminta maaf dan mengaku kesilapannya, tapi bukan dekat lelaki tu! Never!

“Tapi... kira berani la budak lelaki tu, sebab berani melawan cakap bos berlagak kerek macam Mia ni. Silap-silap kena buang kerja dia nanti,” seloroh Mak Wan bersahaja.

Mia angkat muka bila mendengar kata-kata itu. “Mak Wan...” rengeknya dengan muncung panjang. Sengaja la tu nak memerli!

“Siapa nama budak lelaki tu?” Tiba-tiba Mak Wan bertanya.

“Mak Wan ni, budak... budak. Lelaki tu dah umur 28 tahun la Mak Wan, budak apanya lagi. Boleh jadi bapak budak dah pun!” Mia merungut membebel berbunyi sebal.

“Hah... elok sangat la tu, boleh Mak Wan usulkan dekat papa, kahwinkan aje dengan Mia. Baru la buku bertemu ruas!” Selamba saja Mak Wan mengusik sambil tersengih-sengih. Manalah tahu masin mulutnya.

“Eii... tak nak la Mia lelaki macam tu. Karang tak pasal-pasal hari-hari Mia kena mandi dengan spaghetti!” tukasnya laju.

Ada ke nak kahwinkan aku dengan lelaki tu! Macam la takde lelaki lain dalam Malaysia ni. Kalau pun lelaki tu satu-satunya lelaki yang ada dekat dunia ni pun, tak ingin dia kahwin dengan lelaki mulut puaka macam tu! Merana hidup!

“Siapa nama budak tu?” Mak Wan mengorek lagi ingin tahu.

Mia tarik muka menyampah. “Zafeeq... Zafeeq Aidan.”

“Ermm... sedap nama tu. Mesti orangnya pun kacak kan?” Mak Wan masih tak henti-henti lagi mengusik. Tapi entah kenapa hati tuanya seakan dapat merasakan kalau akan ada sesuatu yang akan berlaku pada kedua anak muda ini. Lagipula dia sudah lama tak berkenan dengan gaya hidup anak majikannya itu yang kerap bertukar teman lelaki, tapi dia yakin Mia masih pandai menjaga diri.

Mia buang pandang ke arah lain dengan ketapan bibir bila terbayang semula raut tampan berkumis nipis itu.

“Boleh la...” Dia menjawab bunyi acuh tak acuh. Malu nak mengaku kalau lelaki itu kacak sebenarnya. Kalau tidak, takkanlah dia boleh terkedu saat pertama kali mata mereka bertembung petang tadi.

Mak Wan tersenyum nipis mendengar jawapan nak tak nak itu “Dah... Mak Wan nak turun dulu. Nasi tu jangan lupa makan,” pesannya sebelum bangkit dari katil.

“Ala... Mia kan nak diet, mana boleh makan nasi.”

“Tak payah nak diet sangat la, badan tu dah cantik Mak Wan tengok!” Mak Wan menegah tegas.

Mia mencebik. Sebaik pintu biliknya ditutup rapat, tubuh langsingnya direbah semula ke tilam. Kipas direnung tajam seolah wajah Zafeeq yang sedang ditunaknya. Kemudian Iphone 6s tepi bantal dicapai. Nombor telefon setiausahanya didial.

“Nad.”

“Ya Cik Mia, ada apa call saya malam-malam ni?” Suara Nadrah menyapa di hujung sana

“I nak you email semua maklumat peribadi Chef Zafeeq pada I. I nak malam ni jugak!”

“Ba... baik Cik Mia.” Sambut Nadrtah sedikit teragak. Pelik kenapa bosnya itu tiba-tiba mahukan maklumat peribadi chef muda itu. Nak dipecat ke? Haru...

Setelah panggilan diputus, Mia mula melorek senyum.

*****

Helmet dan sarung tangan kulitnya dibuka sebaik saja dia turun dari motor ducati kesayangannya. Dikirai-kirai kejap rambutnya yang penyek dek helmet yang dipakai tadi. langkah diatur penuh kemas memasuki restoran mamak di depan. Dari jauh lagi sudah dikesan kelibat Khairil di meja berdekatan kaunter bayaran.

“Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam. Bro, aku dengar petang tadi kau bergaduh dengan Mia, anak Tan Sri Jamaluddin tu, betul ke?”

Zafeeq tarik kerut sebaik saja punggungnya dilabuh kan ke kerusi. Cepatnya cerita tersebar.

“Kau ni pun, kalau nak tanya pun sabar la dulu. Bagi la aku pesan makanan dulu,” balah Zafeeq nada tak puas hati. Kemudian tangan kanannya diangkat pada Mamak di depan kaunter. “Mamak... milo ais, mee goreng satu.”

Setelah isyarat ‘okay’ ditunjuk pekerja restoren itu, Zafeeq mengalih semula perhatiannya pada Khairil yang masih setia merenungnya tak berkelip. Pelipisnya berkerut.

“Kau apesal? Handsome sangat ke aku malam ni?” Zafeeq pura-pura tak mengerti.

“Kau dah memang handsome, lain la aku ni, muka pecah rumah,” cebik Khairil buat lawak bodoh. Zafeeq melarik senyum kecil.

“Apa yang jadi petang tadi Zaf? Habis semua staf bercerita pasal kau dengan Cik Mia tu. Sampai aku masuk tandas pun boleh dengar orang bercerita pasal korang dekat luar. Kau cari pasal ke?”

Zafeeq bersandar ke belakang. Kening tak gatal digaru. “Takde apa la. Perempuan tu yang cari pasal dulu, memang itu la makannya!”

“Jadi betul la apa yang dengar ni? Kau simbah Cik Mia tu dengan kuah spaghetti?” Khairil bertanya lagi, untuk dapatkan kepastian dari tuan badan sendiri. Tak berkelip muka Zafeeq ditunaknya menunggu jawapan.

Zafeeq angguk kecil. “Hurm...” Air milo aisnya yang baru sampai disedut tenang.

Khairil melopong besar, silap-silap pinggan roti canai dekat depan tu pun boleh sumbat masuk!

“Kau dah gila ke Zaf, kalau kena pecat nanti macam mana?! Hari tu aku ternampak staf perempuan kena marah dengan Mia tu pun aku dah kecut perut. Inikan pulak kau simbah dia dengan spaghetti?!” Volume suara Khairil naik seoktaf, tak mampu membendung rasa terkejutnya.

Zafeeq tergelak mendengar. Exaggerate la pulak  Khairil ni!

“Kena pecat aku cari kerja tempat lain, apa susahnya. Lagipun perempuan tu yang kurang ajar dulu siapa suruh. Kau pun tahu kan, aku cukup tak suka kalau orang buang-buang rezeki macam tu. Apa dia ingat, dia anak orang kaya, anak orang senang, dia boleh buang makanan  sesuka hati macam tu? Aku sendiri kerja dekat dapur Ril, aku lebih concern pasal benda ni semua, sebab aku tahu susah payah staf aku sediakan semua makanan tu!” Panjang lebar dia mempertahankan dirinya.

Khairil terangguk mendengar alasan Zafeeq itu. “Yela... aku faham maksud kau tu. Tapi kau pernah terfikir tak yang kau dah jatuhkan maruah dia depan semua staf dengan tindakan gila kau tu. Aku rasa kau pun dah dengar kan pasal semua perangai buruk anak Tan Sri tu. Maknanya Cik Mia tu ada ego dia sendiri. Kau rasa mana dia nak letak muka lepas semua yang jadi ni?” Dia tak menyalahkan Zafeeq seratus peratus, sebab dia kenal Zafeeq dah hampir 16 tahun. Semua perangai baik buruk lelaki tu dah ada dalam koceknya. Dia tahu kalau Zafeeq takkan bertindak begitu kalau tak diprovok terlebih dulu.

Zafeeq terdiam. Khairil jungkit kening.

“Entah la, malas aku nak fikir,” balas Zafeeq setelah lama membisu memikir.

Meletus ketawa Khairil dibuatnya. “Zaf...Zaf... kau ni kan, dengan perempuan cantik macam Cik Mia tu pun kau tak pernah consider kan. Macam mana kau nak kahwin ni?”

Terbentuk kerut di dahi Zafeeq. Straw ditangan dipusing-pusingnya. “Apa kaitan pulak cantik si Mia tu dengan aku nak kahwin?”

“Yela... tulang rusuk kau takde rasa bergetar dekat mana-mana ke masa tengok muka Cik Mia tu? Cantik kot,” usik Khairil tersengih-sengih macam kerang busuk. Kalau tak dikenangkan isteri dan anaknya yang sudah menginjak ke usia setahun dekat rumah tu, memang dia pun dah lama pasang jerat.

Berkerut-kerut pelipis Zafeeq mendengar ayat Khairil itu. “Bergetar... bergetar. Kau nak aku tumbuk tulung rusuk kau tu bagi patah ke? Baru kau tahu macam mana rasanya bergetar tulang rusuk!” penumbuknya sudah ditunjuk ke depan muka Khairil yang masih tersengih memandangnya

“Eh... rilek la bro, aku gurau je. Aku tau la taste kau macam mana. Kau nakkkan perempuan yang ayu, lemah lembut, pijak semut pun tak mati, bertudung litup, kan?”

Zafeeq tarik muka bosan. Saja nak membahannya la tu sebab dulu dia pernah beritahu Khairil bagaimana ciri-ciri perempuan yang menjadi idamannya. Tapi yang pasti, Mia Aizara itu langsung takde ciri-ciri yang diinginkannya itu.

“Tapi aku rasa kan...” Zafeeq berhenti seketika seakan memikir. “Aku rasa macam pernah jumpa la Mia tu.”

Khairil tergelak lagi. “Dalam mimpi basah kau kot.”

Membuntang mata Zafeeq dibuatnya dengan mulut tak berinsuran sahabatnya itu. “Eii...kau ni kan! Karang ada jugak yang gugur gigi nanti kang...”

Terkekeh-kekeh Khairil mengetawakannya.

Chill la bro, aku usik sikit pun tak boleh ke? Semenjak balik dari Italy ni, makin sensitif pulak aku tengok kau ni.”

Zafeeq mendengus kuat. Tapi betullah, dia seperti pernah lihat raut wajah Mia sebelum ini. Tapi dekat mana? Bila?




BAB 5

Tan Sri Jamaluddin, Puan Sri Sarimah, Mia dan si kecil Jihad melangkah masuk ke dalam ballroom yang hampir penuh dengan tetamu yang hadir di Majlis Ulang Tahun UM Corporation itu. Rata-rata hampir semua mata kini tertumpu pada mereka sekeluarga terutamanya Mia yang kelihatan cantik bak puteri raja malam ini dengan dress biru gelap yang tersarung di tubuh langsing itu. Kelihatan kontra dengan kulitnya yang putih melepak.

Muiz yang sedang duduk di sisi Julia segera bangkit mendapatkan keluarga itu. setelah menyapa Tan Sri Jamaluddin, dia mendapatkan pula Mia. Si gadis dilihat atas bawah dengan rasa kagum.

You look beautiful princess.” Mulut Muiz mula bergula. Julia di sana mula ketap gigi kuat. terbakar rasa cemburunya.

Malas membalas, Mia hanya tarik senyum segaris apatah lagi bila perasan tikaman mata tajam Julia padanya. Kemudian hujung matanya menangkap kelibat Zafeeq berdekatan meja buffet di belah kanan ballroom itu. Lelaki itu turut memandang kejap sebelum menyambung semula kerjanya.

“Huh!” Terus dia berlalu mengikut langkah papa dan mama tirinya itu ke meja VVIP di hadapan pentas yang sudah terhias indah. Dia menoleh ke sisi bila bajunya terasa ditarik kecil. Dilihat seorang anak kecil dalam lingkungan setahun lebih terkebil memandangnya. Dilihat wanita yang memangku anak kecil itu sedang bercakap dengan anak lelaki Tan Sri Umar, Hasif Nadhmi. Dari gaya yang dilihat, dia yakin kalau wanita itu adalah menantu pemilik syarikat hartanah terkenal itu.

Dia ukir senyum pada wanita cantik bertudung litup itu sebaik wanita itu berpaling padanya. “Anak akak?” Dia mula menegur ramah seraya mencuit pipi tembam itu.

“Anak akak. Anak Tan Sri Jamaluddin?”

Mia angguk kecil. “Mia Aizara, boleh panggil Mia aje. Akak mesti isteri abang Hasif kan?” Soalnya walaupun dia cukup pasti dengan tekaannya itu.

Raisha angguk kecil mengia. “Cantiknya anak Tan Sri, beruntung siapa yang dapat. Dah berpunya?”

Terkejut dengan lontaran soalan itu laju Mia menggeleng. “Takde la, single lagi. Mia ni garang macam singa, orang pun takut nak dekat kak.”

“Yeke cantik macam ni takde orang minat?”

Perbualan mereka terhenti bila persembahan pembukaan mula membuka tirai majlis. Diikuti oleh ucapan daripada Tan Sri Umar selaku pengarah syarikat yang meraikan hampir 1300 pekerja syarikatnya yang hadir.

Sedang Mia melilau mata ke sekeliling, tiba-tiba bola matanya terhenti tepat pada seraut wajah yang cukup dikenalinya. Lelaki yang sudah hampir dua tahun tidak ditemuinya itu. Danny!

Lelaki itu kelihatan melambainya dengan senyum yang terukir lebar. Cepat-cepat dia mengalih semula pandangnya ke pinggan di depannya. Berkocak hebat dadanya dengan kehadiran lelaki yang sudah menghadiah luka yang paling dalam padanya dulu. Buat apa lelaki tu di sini? Salah seorang pekerja UM Corp ke?

Hampir setengah jam kemudian, kelihatan tetamu semua mula meninggalkan meja masing-masing menuju ke meja buffet panjang yang tersedia di kiri kanan dewan untuk mengisi perut masing-masing. Mia hanya menguis-nguis saja makanan di dalam pinggannya itu. Entah kenapa perutnya tiba-tiba terasa sebu.

“Pa... Mia pergi ladies kejap.”

Kemudian dia bangkit setelah mencapai pouch bag hitamnya atas meja dan berlalu dari situ. Sebaik dia melangkah keluar dari dewan itu, dapat dirasakan seseorang sedang mengikutinya dari belakang. Langkah dipercepat. Tiba-tiba lengannya terasa dicengkam kejap sekaligus menghentikan langkahnya. Kini Danny sedang berdiri betul-betul dihadapannya.

“Hai Mia.” Suara garau itu kini bergema lagi di gegendangnya setelah kian lama hilang. Senyum tergantung di hujung bibir itu. “Gembira jumpa you, dah dua tahun kita tak jumpa kan?” Sambung Danny lagi.

Mia ketap gigi kuat. Lengannya direntap hingga terlepas pegangan tangan itu. “Hai Mia? Do I know you?” Dia mula berbicara sinis mengajuk. Entah kenapa rasa sakit yang telah lama lupus dari jiwanya itu kembali menggigit hati. Pedih...

Danny terdiam seketika. “I’m sorry... I ingat you dah lupakan perkara lepas.”

Kening Mia naik terjungkit. “Lupa? Sampai mati pun I takkan apa yang you dah buat pada I Danny.”

Danny menunduk kejap sebelum dongak semula. Wajah cantik yang tampak menyerlah keanggunannya malam ini ditunaknya kejap. “You look... beautiful as always.

Mia menyilang tangan ke dada. “Tell me something I don’t know.” Wajah kacak yang langsung tak berubah itu dipandang dengan rasa berbaur. “You buat apa dekat sini? Bukan I dah cakap ke yang I tak nak tengok muka you lagi depan I?!” Keras nada yang melantun.

“I kerja dekat UM Corp, jadi salah ke kalau I ada dekat sini?”

Mia senyap. Kenapalah kecil sangat dunia ni...

“Mia... I” Liur ditelan Danny kesat. Mia masih menunggu penyudah ayat tergantung itu.

“I dah bercerai dengan Kay,” luah Danny dekali lafaz.

Mia terkesima. Bercerai?

“Anak yang Kay kandungkan dulu tu... bukan anak I, tapi anak Zack. You ingat lagi Zack?”

Sekali lagi dada Mia bagai disambar petir yang maha kuat. Terbayang wajah nerd, berkaca mata tebal yang sering dilihat ke hulu ke hilir dengan buku setebal ensiklopedia itu. Zackry, budak fakulti undang-undang itu terbayang di mata. Bagaimana mungkin Kay boleh terlanjur dengan budak Zack tu? Sedangkan setahunya lelaki nerd itu antara salah seorang orang kuat yang menggerakkan dakwah di kampus mereka dulu. Tanpa sedar matanya mula dikaburi air mata. Tak sangka semudah itu manusia tunduk dengan nafsu sendiri.

Tersedar dengan dirinya yang kian dihanyut perasaan. Mia menghapus air matanya yang gugur ke pipi. “So? You nak I buat apa? Congratulate you?” ujarnya dengan suara yang sudah berubah sedikit serak. Tiba-tiba kedua belah tangannya terasa diraih lembut.

“I nak kita balik macam dulu. Please sayang.” Danny meluah tanpa berselindung.

Sebaris kata itu berjaya mengocak kuat kolam hati Mia. Mata itu membulat besar. “What?” seakan tak percaya dengan apa yang baru didengari halwa telinga itu.

Danny pejam mata kejap sebelum meluah kata. “I nak balik pada you. I nak kita balik macam dulu. You...and me.

Nonsense!” Mia mula berpaling untuk segera pergi dari situ tapi ditarik Danny semula.

“Mia... lepas I kahwin dengan Kay, baru I tersedar yang hati I masih mencintai you sayang. Perkahwinan I tak pernah bahagia, sebab tu sebaik saja I tahu yang anak tu bukan anak I, I langsung tak teragak untuk ceraikan Kay. I tahu I pernah khilaf. Tapi tolong... bagi I peluang kedua.” Mata Mia direnung dalam. “I love you Mia, I need you!” ujar Danny bersungguh untuk meraih semula cinta hatinya itu.

 “You all tengok apa ni?” Zafeeq yang baru melepasi pintu besar dewan itu menegur dua orang pekerjanya yang sedang bercakap sesama sendiri.

“Arr... takde apa chef,” Jawab salah seorang darinya.

“Bawak tray ni ke belakang, dan tolong bawak keluar kek dari freezer.” Tray besi yang sudah kosong di tangan diserahkan pada kedua orang stafnya itu. Melihat pekerjanya yang masih tertegun itu dia mengerut dari.

You all tunggu apa lagi? Cepat!” Sergah Zafeeq sedikit meninggi dengan muka tegas.

“Ba.. baik chef.”

Setelah keduanya menghilang, Zafeeq berpaling semula untuk masuk ke dalam. Saat itu juga hujung matanya menangkap figura lelaki perempuan berdekatan tangga melingkar di tengah lobi hotel itu. Mia?

Matanya naik pada raut lelaki yang sedang memegang erat kedua tangan Mia itu. Teman lelaki baru ke? Baru saja dua hari lepas dia ternampak si Muiz tu beri bunga pada Mia. Hari ni lelaki lain pulak dah? Hebat!

  Pegangan tangan Danny dilerai. “Kalau sesenang tu you ingat I akan terima you kembali, you silap Danny. Mungkin sekarang you boleh kata yang you masih cintakan I lagi, tapi tak mustahil jugak you akan buat kesilapan yang sama untuk kali kedua. I’m enough with you. I tak perlukan lelaki macam you dalam hidup I.”

Tanpa menunggu balasan, terus dia angkat kaki meninggalkan lelaki itu terkulat sendiri. Dia bukannya malaikat yang boleh memaafkan seseorang hanya dengan ucapan mulut. Untuk apa dia hipokrit, kalau hatinya masih terasa sakitnya dengan apa yang berlaku dulu.

Hampir lima belas minit bertapa dalam bilik air cuba mengatur semua perasaanya yang sedikit berkecamuk tadi, kakinya diheret semula keluar. Sebaik kepalanya dipanggung ke depan dilihat Julia sudah menunggunya dengan senyum palsu sambil bersandar ke dinding lalutan toilet itu. Terlepas dengusan kasar dicelah bibirnya. Lepas satu...satu

“Aku takde mood nak layan kau Julia, so better kau jangan cari pasal dengan aku sekarang.” Mendatar kata yang meluncur, tapi keras kedengaran. Tanpa menunggu balasan, terus dia berjalan melintasi gadis itu. Tiba-tiba rambutnya terasa direntap kasar dari belakang hingga terjelepuk dia ke lantai. Sakitnya terasa menyentap hingga ke otak. Belum sempat dia bangun, julia sudah menghimpit tubuhnya terlebih dulu

“Berapa kali kau nak aku kata hah! Supaya jangan kacau Muiz, tapi kenapa kau degil sangat ha perempuan sundal!!” Julia mula menempik dengan muka menyinga. Habis ditarik-tarik rambut sepupu yang sangat dibencinya itu. Ditampar-tampar pipi itu bertalu-talu. Hatinya sakit! Jiwanya cemburu!

Mia tarik nafas dalam menunjukkan kalau sabarnya sudah hilang. terasa perit pipinya dek serangan sepupunya itu. Julia betul-betul cari pasal dengannya!

“Berapa kali kau nak aku cakap hah perempuan bodoh?! Aku tak hadap la dengan Muiz kau tu. Bersepah dekat tepi jalan! Kalau kau rasa kau nak sangat Muiz tu, ambil la! Sebesar kuman pun tak jadi kudis pada aku la!” jerit Mia pula naik hantu. Rambut Julia yang kemas bersanggul itu turut menjadi mangsa tangannya.

Setelah penat bergelut sesama mereka, dengan sisa kekuatan yang ada, Mia menarik rambut Julia supaya wanita itu turut bangun berdiri bersamanya. Sesaat kemudian... Pangg....

Satu tamparan kuat melayang ke pipi Julia hingga terjatuh sepupunya itu ke lantai. Tiba-tiba lengannya terasa ditarik kasar dari belakang. Muncul Zafeeq dihadapannya dengan muka merah padam.

“Apa yang you buat ni Mia, you dah gila ke?! Kenapa perangai you macam ni hah? Sampai tengah majlis dekat dalam tu pun you boleh tunjuk perangai buruk you tu dekat sini! You tak malu ke?!!” Suara garau Zafeeq mula menempik memarahi Mia. Sungguh dia tak mengerti dengan perangai gadis itu yang terlalu cepat naik darah, sampaikan sepupu sendiri pun dikerjakannya! Takde otak ke?!

Diperhatikan keadaan keduanya dengan rambut yang sudah kusut masai. Lengan baju Mia juga kelihatan terkoyak. Julia pula sudah mula teresak-esak cuba menjayakan lakonannya dihadapan lelaki itu seolah-olah dia yang menjadi mangsa keadaan di sini.

“Kenapa semua orang selalu nampak I aje yang salah?! I aje yang jahat?! I aje yang berperangai buruk?! Untuk pengetahuan you, perangai I memang macam ni dari dulu. buruk... jahat... kaki pukul. Puas!!” jerkah Mia kuat seraya menolak kasar dada bidang  itu. Cuba ditahan supaya air matanya tak tumpah di situ. Tanpa menunggu lama terus disambar pouch bagnya atas lantai. Kasut tumit tingginya yang sudah terpatah sebelah itu dicabut keduanya, hanya berkaki ayam. Kalau diikutkan hatinya yang menggelegak panas, nak saja dihentak kasutnya itu ke kepala Julia!

Zafeeq hanya diam mengawasi setiap gerak geri wanita itu. takut kalau-kalau Mia menggila lagi. Tiba-tiba dilihat kepala Julia yang masih terjelepuk dan teresak di lantai itu ditolak Mia kasar. Zafeeq melopong kecil melihat perlakuan kasar itu.

“Kau tak payah nak pura-pura la perempuan! Takde siapa la nak tengok lakonan sampah kau tu dekat sini!” jerkah Mia kasar sebelum berlalu dari situ berkaki ayam. Langsung tak dipandang lelaki yang tak pernah habis-habis nak menambah sakit di hatinya semenjak dari pertemuan pertama lagi.

Setelah bayang Mia hilang, tanpa menunggu lama terus Zafeeq membantu Julia bangun. Terlihat jelas bekas tamparan di pipi itu. Dia menggeleng kecil.

“You okay tak ni?”

Lambat-lambat Julia mengangguk. Dalam diam dia tersenyum kemenangan kerana lelaki kacak bergelar Chef yang sering menjadi perhatian pekerja wanita itu nyata menyebelahinya. Tapi sayangnya cuma bekerja sebagai chef, dan pekerja biasa. Kalau saja lelaki itu dari golongan berada, pasti sudah lama digodanya.

“I okay. Terima kasih.” Ucapnya dalam nada sedih.

Zafeeq angguk kecil. Julia minta diri. Setelah bayang wanita itu hilang, dia turut beredar dari situ. Seketika kemudian ada suara yang menegurnya dari belakang. Dia menoleh.

“Kenapa Chef marah Cik Mia tadi? Dari apa yang saya nampak dari tadi, memang Cik Julia yang mulakan pergaduhan tu dulu. Dia yang tiba-tiba tarik rambut Cik Mia dulu.” ujar Izzati nada tak puas hati. Dia sendiri yang menyaksikan kejadian tadi dari mula sampai habis dibalik pasu besar di situ. Kebetulan dia baru saja keluar tandas tadi, dan dilihat Cik Julia sudah menunggu di situ. Tak tahu pula rupa-rupanya sedang tunggu Cik Mia keluar.

Zafeeq terkesima mendengar dengan pelipis yang mula bergerak-gerak kecil. “Kenapa awak tak beritahu dari tadi?”

“Saya... saya takut...”

Terlepas dengusan kasar Zafeeq dari celah bibirnya. Kemudian terus dia melangkah pergi meninggal pekerjanya itu.

*****

Iphone ditangan dilekapnya ke telinga. Sesaat kemudian panggilannya bersambung.

“Hello pa...”

“Mia dekat mana tu? Kata nak pergi toilet je, takkan sampai sejam?” suara gusar Tan Sri Jamaluddin mula menampan cuping telinganya.

Mia berdehem kecil cuba meredakan serak suaranya. “Mia rasa tak sihat la pa, Mia nak balik rumah dulu boleh?”

Sepi seketika.

“Hurm... bawak kereta elok-elok. Makan ubat, lepas tu tidur.”

“Okay pa, good night,” Sambutnya sebelum mematikan talian. Kemudian matanya dilemparkan semula ke arah kolam renang di depan. Sekejap saja anak matanya mula berair semula. Hatinya sakit, pedih, kenapa semua orang selalu nampak buruknya saja, apa teruk sangat ke dirinya?!

Ditambah pula dengan kehadiran Danny semula dalam hidupnya, entah kenapa hatinya terasa cukup lemah malam ini. Teresak-esak dia sendirian di taman depan kolam renang itu melepaskan beban yang memberat di hati. Tak dipedulikan rambutnya yang sudah berserabut, bajunya yang koyak dan kakinya yang sudah berpalit tanah. Dah serupa orang gila tepi jalan saja rasanya.

Tiba-tiba sehelai jaket kulit coklat jatuh elok menutup kedua bahunya yang terdedah sedikit lepas lengan bajunya terkoyak bergelut dengan Julia tadi. Sehelai sapu tangan pula muncul di sisi bahunya. Spontan kepalanya menjeling ke sisi. Dikerdip matanya yang kabur dengan air mata. Sebaik terlihat empunya tuan sapu tangan itu terus dia merengus kasar seraya bangkit dari duduk.

“Apa lagi yang you nak tuduh I kali ni?” Sembur Mia sebaik tubuhnya berdiri tepat dihadapan tubuh sasa itu. Tangan itu ditepis kasar hingga terjatuh sapu tangan itu ke rumput.

Zafeeq hela nafas berat. Dadanya terasa dicucuk-cucuk dengan rasa bersalah mendengar esak tangis gadis itu tadi.

I’m sorry,” ujarnya pendek. Nak tak nak teraksa juga dia merendahkan egonya kerana ternyata dia berada di pihak yang salah

Mia tergelak sinis. “And I’m sorry too, maaf you tak diterima,” balasnya penuh lagak. Dia mula bergerak pergi. Baru empat lima tapak dia berlalu, dia berpatah semula dan sapu tangan atas rumput itu diambilnya semula. Sempat lagi dia menjeling tajam pada Zafeeq sebelum kakinya laju meninggalkan jejaka itu.


Zafeeq yang memandang perlakuan comel gadis itu walaupun tengah dalam marah itu tersenyum kecil. Kemudian dia turut berlalu semula masuk ke dalam hotel. Ingatkan kuat sangat, rupanya hati tisu jugak rupanya, bisiknya dalam hati.

Bersambung....

p/s: Amacam syg semua? hehe... sudi2 tinggalkan komen kalau nak Dila menulis dgn lebih laju >_< ngeeeeeeeeeee

12 comments:

Azida Aqm said...

Best .. hasif dn raisya pun ada, ada baby pulak tu . Kesian dgn Mia huhu

Anonymous said...

Best!!!nak lagiii

Syuhada Adnan said...

Thumbs up! Best! Btw nak tanya agak2 bulan berapa keluar novel en pilot tu?

dila dyna said...

Tq dear..insha allah bln 5/6 nnti. Sama2 kite tunggu ye

azaini mohd said...

Best3x

azaini mohd said...

Best3x

nurlisa sam'an said...

Nice

Edz Mier said...

Sangat best...
Nk lg..😆

baby mio said...

BEST 3X.

Nrzlx said...

Best best best.... Sambung cepat2 pplisssssss

dila dyna said...

tq syg semua. Insha allah akan update dari masa ke semasa sampai masanya utk stop n siapkan manuskrip penuh ^^ sama2 kite tunggu

Lilly Daud said...

Best....next entry please...