Monday, 30 July 2012

Bisikan Kata hati- 6

Aiman dibilik bagai cacing kepanasan, hatinya resah membayangkan tidak lama lagi Laila akan tinggal di sini. Dirumahnya, dibiliknya.

“Apa aku nak buat ni? nak membantah, rasa macam tak jalan pula.” Aiman merungut sendirian.

Kakinya dibawa menuju ke meja kerjanya dan suis laptop dipasang. Kemudian folder yang menempatkan gambar perkahwinannnya dengan Laila dibuka. Tidak sampai seminit, matanya sudah dihidangkan dengan beratus-ratus keping gambar yang ditangkap oleh photographer yang diupah sempena majlis perkahwinan mereka. Selama empat tahun gambar-gambar ini bersemadi didalam laptopnya ini, tidak pernah sekali pun dia melihat gambar-gambar tersebut. Tapi entah kenapa tiba-tiba hatinya tergerak untuk menatap gambar-gambar itu malam ni.

Daripada majlis akad nikah sehinggalah majlis persandingan, semuanya diteliti. Semuanya kelihatan sempurna tanpa cacat-cela, tapi apa yang bermain dihati dirinya dan Laila hanya ALLAH saja yang tahu.

“Pandai jugak kita orang berlakon ye.” Aiman sempat lagi memuji sambil matanya ralit menatap gambar-gambar tersebut.

Kemudian di scroll ke bawah dan matanya menangkap gambar-gambar Laila ketika dimekapkan oleh jurusolek professional yang juga diupah. Lama matanya jatuh pada seraut wajah Laila. Hanya satu perkataan saja yang bermain dalam kotak fikirannya.

“Cantik.”

Terpacul sudah perkataan yang tadinya berlegar-legar dalam kepala otaknya. Memang tidak dapat dinafikan, isterinya memang dikurniakan dengan rupa paras yang cantik dan menawan. Pasti ramai kumbang diluar sana yang memasang hajat hendak mengayat isterinya kalau isterinya tidak terikat dengan ikatan yang tidak ada penghujung ni.

Ish..apa yang difikirkan ni?

Ditepuk-tepuk pipinya beberapa kali untuk membuang bayangan Laila yang terlayar di matanya sebentar tadi.

“Macam mana aku boleh terfikir yang perempuan ni cantik?” Kutuk Aiman pada dirinya sendiri.

“Kalau cantik luar aje buat apa kalau dalam busuk.” Sinis Aiman mengeluarkan bicara.

Tanpa menunggu walaupun seminit cuma. Terus laptopnya ditutup dan skrin menjadi gelap. Tubuhnya diangkat dari kerusi dan direbahkan ke atas katilnya terlentang. kemudian matanya dipejam dan tanpa disangka-sangka wajah Laili dan Laila datang silih berganti, menjadikan dia sendiri sakit kepala. Pantas suis lampu tidur dicapai dan ditutup, dan…
Zzzzzz……
*******
Laila berguling-guling sekejap di atas katil setelah selesai menunaikan solat isyak, matanya tak boleh terlelap. Ditarik laci meja yang terletak bersebelahan katil queennya. Satu buku bersaiz sederhana ditariknya keluar. Diarinya yang telah lama ditinggalkan, dan kerana diari ini juga semua ni berlaku. Baru hendak diselak helaian pertama diarinya, kedengaran ketukan pintu pada biliknya dan wajah umi tersembul disebalik pintu. Terus diarinya disimpan kembali kedalam laci sebelum uminya perasan..

“Tak tidur lagi kak ngah?” Tanya Puan Solehah. Pertanyaan uminya dibalas dengan gelengan.

“Belum mengantuk lagi umi.”

“Boleh umi masuk?” Puan Solehah menyoal lagi.

“Masuklah umi, malam ni umi dodoikan Kak ngah sampai Kak ngah tidur boleh?” Laila bertanya dengan lagak manjanya. Sudah lama dia tak bermanja dengan uminya.

“Dah besar-besar macam ni pun nak umi dodoikan lagi?”

Laila hanya tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih bersih. Puan Solehah duduk melunjur di atas katil sambil Laila melentokkan kepalanya di dada uminya. Uminya mula mengusap-ngusap kepalanya.

“Umi nak tanya ni. Kalau mertua Kak ngah ajak duduk dengan dia orang, Kak ngah nak tak?”
Laila mula terkejut dengan pertanyaan uminya, terus kepalanya diangkat dari dada uminya. Wajahnya uminya dipandang lama.

“Umi bukannya nak menghalau. Umi dah bincang dengan abah, dan abah pun dah setuju dengan benda tu. Lagipun sampai bila Kak ngah nak duduk dengan umi dan abah? Kak ngah dah ada suami, ada tanggungjawab yang perlu Kak ngah tunaikan. Umi tak nak nanti kak ngah dipanggil isteri yang menderhaka pada suami.” Panjang lebar nasihat Puan Solehah malam itu.

Laila sedar soal itu,bukan dia tidak tahu pasal hukum dosa dan pahala. Tetapi dia sengaja berpura-pura tidak sedar. Keadaan yang memaksanya mengambil keputusan sebegini

“Kak ngah takut umi.” Laila menyatakan perasaannya pada uminya.

“Umi tak suka kak ngah menghukum diri sendiri atas kematian kak long. Bukan salah kak ngah, ALLAH ternyata lebih sayangkan dia. Umi dah redha.” Luah Puan Solehah sayu, dia redha dengan segala yang telah tersurat, diterima qada dan qadar dengan hati yang lapang. Manakan pernah sanggup seorang ibu melihat anak sendiri menghukum diri sendiri.

Laila terdiam seketika. Sememangnya dia tahu, uminya tidak pernah menyalahkan dirinya atas kematian Kak long. Uminya menganggap semua ini sebagai takdir yang telah ditentukan oleh ALLAH.

“Umi…esok Kak ngah ingat nak melawat pusara Kak long.” Laila mengusul. Sudah telalu lama dia tidak menziarahi pusara kakaknya, sudah empat tahun lamanya. Rindunya pada kakak kesayangan yang mengamit hatinya benar-benar membuatkan hatinya berasa sakit dan perit sekali.

“Nak umi teman ke?”

“Eh, tak apalah umi, esok Bang chik kata dia tak ada kelas. Dia boleh tolong temankan kak ngah.” Beritahu Laila. Dia tidak mahu menyusahkan uminya.

“Dah.. tidur. Kata nak umi dodoikan.” Lantas kepala anak gadisnya ditarik kedadanya sambil menyanyikan lagu dodoi. Laila tidak sedar pukul berapa dia terlena. Sedar-sedar saja esok paginya, dia sudah tidur sendirian dengan comforter yang membaluti tubuhnya.
*****
Bacaan Yaasin dialun begitu merdu sekali, sekali sekala tangannya bergerak mencabut rumput yang tumbuh disekeliling pusara tersebut. Selesai membaca Yaasin, adiknya pergi membeli minuman di kedai berhampiran meninggalkan Laila sendirian. Dia tahu yang Kak ngahnya perlukan masa untuk bersendirian.

“Kak ngah datang Kak long.” Ucap Laila sebak,sungguh perasaan rindu menggigit-gigit hatinya. Perlahan-lahan air mata merembes keluar dari tubir matanya. Kesedihan yang tadinya ditahan dan begitu menyesakkan dada akhirnya keluar juga. Air matanya seakan-akan tidak mahu berhenti, terus membanjiri pipi mulusnya. Dicium batu nisan pusara arwah.

Memori lama mula mengambil tempat….

“Umi!...umi!” Terjerit –jerit Laili memasuki rumah sebaik saja kasut sekolahnya ditanggal. Ketika itu mereka masih tinggal di Batu Pahat, Johor. Terkocoh-kocoh Laili mendapatkan uminya yang sedang mengadun bancuhan kek. Dikibar-kibarkan sekeping surat yang ada ditangan kanannya macam mengibar bendera waktu hari kemerdekaan. Sebaik saja dia berhenti didepan uminya, nafasnya yang termengah ditarik kejap untuk diatur semula. Dia berlari pulang ke rumah sebaik saja kakinya melangkah keluar daripada pagar SMK Dato Bentara Luar tempat mereka menuntut ilmu meninggalkan adiknya Laila yang terkejar-kejarnya dibelakang.

“Umi…umi tengok ni.” Ujar Laili dengan tergesa-gesa walaupun nafasnya masih termengah. Dalam hatinya sudah tersenyum nakal. Habislah kau kak ngah haha…

“Apa ni?” Soal Puan Solehah sambil menarik surat yang dihulurkan anak gadis sulungnya itu. Belum sempat dibaca isi surai itu suara nyaring anak keduanya sudah membingitkan telinga.

“Kak long!!” Jerit Laila pula dengan wajah yang sudah memerah. Dia bukannya boleh berlari laju sangat. Asmalah katakan. Wajah kakak kesayangannya sudah dicerlung tajam. Kurang asam boi punya kakak!

“Arghh!!!” Suara Laili pula memecah kesunyian ruang dapur yang tadinya sunyi. Macam orang gila dia dan adiknya terkejar-kejar satu sama lain sambil mengelilingi meja makan yang tidak berapa nak besar itu. Last-last belakang uminya juga yang dijadikan perisai daripada terkena cubitan maut adiknya. Boleh lebam berhari-hari woo..kalau kena.

“Berhenti!!!” Jeritan Puan Solehah pula yang mengambil tempat. Pening dia melayan keletah dua orang anak gadisnya itu. Bikin sakit kepala saja.

Dua-dua sudah diam menikus bila suara halilintar umi menusuk ke telinga. Gugur jadi jantung masing-masing.

Dari belakang badan uminya, Laili menjengah kepala mengintai adiknya yang pasti geram dengannya sekarang. Sebaik saja matanya mereka bertentang, segera lidahnya dijelir mengejek.

Makin membulat mata Laila dibuatnya dengan ejekan kakaknya itu. Sabar sajalah!

“Umi…umi! bacalah surat tu. Usop jongang anak Pak Mat bagi surat cinta dekat kak ngah…” Ceritanya Laili kecoh. Rasa hendak tergelak-guling-guling tadi bila melihat isi surat yang ditulis Usop jongang kepada adiknya tadi di sekolah. Tidak sangka, ada hati rupanya Usop jongang tu dengan adiknya. Hikhik..

Puan Solehah sudah menumpu kearah muka Laila yang sudah merah padam. Tanpa dapat ditahan-tahan tawanya terletus juga. Tidak sangka berani sungguh anak  Si Mat itu hantar surat cinta pada anaknya itu. Patutlah setiap kali dia menyiram pokok di luar petang-petang, dia selalu ternampak si budak Usop tu naik motor lalu depan rumah mereka. Rupanya ada niat lain….

“Umi!!” Jerit Laila lagi dengan muka yang hendak menangis. Sanggup kakaknya mempermalukannya dia depan umi. Kalau dia tahulah kakaknya akan bertindak macam ni. sampai mati pun tak akan dibagi kakaknya itu baca surat yang dibagi Usop jongang tu. Buat malu saja!

“Alala…nak menangislah pulak anak umi seorang ni. ok apa si Budak Usop tu, lain dari yang lain.” Puan Solehah sengaja mengusik anaknya itu lagi. Laili dibelakang sudah tergelak bagai nak rak sampai terkeluar air matanya. Lawak sangat!

Laila sudah berpeluk tubuh. Rasa nak luku-luku saja kepala kakaknya itu.

“Laila benci umi dengan kak long!!” Laila menjerit sebelum berlalu masuk ke bilik dengan menghentak kakinya kuat tanda protes. Pintu bilik pun dihentamnya kuat. Panas rasa hatinya.

Puan Solehah dan Laili sudah memandang sesama mereka. Terdiam mendengar amarah Laila yang tidak dijangka. Macam periuk api yang ditanam dalam tanah, bila-bila masa saja boleh meletup.

Tiga hari Laila dan Kak longnya tidak bertegur sapa. Pergi sekolah pun jarak berjalannya mesti dua meter jauh. Umi dan abah pula yang risau hubungan mereka adik-beradik yang sudah bermasam muka. Tapi sekejap saja, lepas empat hari kak long membelikan dia patung teddy bear menggunakan duit tabungnya sendiri. Barulah dia tersenyum balik. Dia pun rasa tak best saja sepanjang mereka tidak bertegur sapa tu. Rasa hidupnya macam kosong.

Laila tergelak dan tersenyum sendiri di tanah perkuburan yang nampak lengang sangat daripada penziarah, tersenyum mengenangkan kisah lama. Dilihat hanya ada dua orang saja yang sedang duduk di pondok bawah pohon mangga berdekatan. Penggali kubur barangkali.

Tidak sangka ingatannya pada memori lama mereka masih melekat kuat diingatannya. Tapi itu semua sudah tinggal kenangan. Kenangan yang cukup pedih dan menyakitkan hatinya.
Kak ngah minta maaf dah lama tak datang sini.” Laila berkata lagi. Seakan-akan baru semalam Kak long meninggalkan mereka, masih segar dalam ingatannya sewaktu jenazah dimandi dan dikapankan. Pada hari itu juga beberapa kali dia jatuh pengsan, masih tidak dapat menerima kenyataan kalau kakaknya telah pergi meninggalkan mereka.

Terlalu payah untuk terima kenyataan yang kakak yang menjadi tempat dia mengadu saat dia dimarahi abah dan umi, tempat dia bermanja dan tempat dia meluah perasaan saat kerja yang menimbun minta disiapkan.Tanpa sedar tindak tanduknya diperhatikan dari jauh oleh sepasang mata. Selepas kira-kira sepuluh minit, adiknya datang.

“Dahlah Kak ngah, jom balik. Umi mesti risau kalau kita lama-lama kat sini.” Ujar Lukman sambil memaut lengan kakaknya supaya bangun.

“Emm….” Balas Laila. Sisa air mata pada pipi mulusnya disapu dan ditoleh sekali lagi kearah pusara kakaknya itu.
*****
Aiman termenung dalam kereta sendiri. Sekejap tadi baru dia berkira-kira untuk melawat pusara Laili. Tapi niatnya terbantut bila matanya tiba-tiba menangkap susuk tubuh Laila disitu sedang menangis. Sungguh hatinya tersentap tatkala matanya melihat isterinya yang ditinggalkan selama empat tahun menangis kesedihan begitu. Tapi sekejap saja, cepat-cepat dia mula menangkis perasaan yang mula menular.

“Ah!! persetankan perasaan tu, kalau bukan sebab dia, Laili takkan mati.” Dihentak-hentak tangannya pada stereng kereta. Dia terimbau kembali peristiwa 4 tahun lepas, Laili dan dia berkenalan selepas Laili terpilih untuk menjalani praktikal di syarikat papanya dan Haris jugalah yang memperkenalkan dia dengan Laili.

Cinta mereka mula berputik dan mendapat restu keluarga dua-dua belah pihak. Setiap  kali hujung minggu, Laili  memang selalu mengajaknya melawat adiknya Laila yang menuntut di UKM dalam jurusan perakaunan. Dari situlah bermulanya perkenalan dia dan Laila.

Satu hari waktu mereka melawat Laila di kafe kolej, dilihat gadis itu sedang khusyuk menulis sesuatu di dalam buku. Laila nampak santai dengan seluar track suit hitam dan baju t-shirt lengan panjangnya. Rambutnya yang separas bahu hanya dibiarkan lepas bebas.

“Hah!! buat apa tu?” Sergah Laili dari belakang, terkejut Laila dibuatnya, lantas bukunya ditutup laju.

“Kak long…buat terkejut Kak ngah aje.” Balas Laila dengan nada geram. Suka sangat terkejutkan dirinya, nasib baik asmanya sudah beransur pulih. Kalau tidak, mau kojol dia disitu

“Seorang aje? abang Aiman tak ikut sekali.” Soal Laila sambil terintai-intai kebelakang. Memang sudah menjadi kebiasaan setiap hujung minggu, Kak longnya akan melawat dia di kolej.

“Tu.. tak nampak?” Jawab Laili sambil mulutnya dijuihkan kearah Aiman. Dari jauh Laila sudah menangkap susuk tubuh Aiman yang bersarung seluar jeans dan t-shirt berkolar berwarna hitam sedang berjalan kearah mereka. kelihatan cukup santai dan menarik.

“Assalamualaikum.” Kata Aiman pada Laila.

“Waalaikumsalam.” Balas Laila perlahan, tidak mahu bertentang mata dengan Aiman, lantas matanya dihalakan kearah booth-booth yang meriah dengan pelajar-pelajar yang menuntut disini.

“Ada apa ni Kak ngah? meriah semacam aje kak long tengok.” Mata Laili sudah melilau kesana sini melihat keadan sekeliling yang penuh dengan gerai-gerai dan booth-booth.

“Oh…ada karnival kerjaya la kak long.” Jawab Laila ringkas. karnival yang sudah menjadi kebiasaan disini. Tiap-tiap tahun pasti diadakan untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk mengetahui bidang kerjaya yang sesuai untuk mereka. Senang nanti lepas graduate nak cari kerja

“Jom jalan-jalan tengok.” Laili mengusul laju. Tangannya mula menarik-narik jari adiknya supaya ikut bangun.

“Sayang, you tolong tengok tengokkan barang adik I ok.” Kata Laila kepada Aiman. Tak lama kemudian terus mereka berdua hilang dicelah orang ramai. Aiman turut memerhatikan keadaan sekeliling yang tampak meriah dengan kebanjiran pelajar-pelajar disitu. kemudian matanya jatuh pula pada buku yang sedikit menarik perhatiannya diatas meja berdekatan beg galas Laila.

"Nampak macam diari" telah Aiman. Buku itu ditarik dengan berhati-hati sambil matanya tertinjau-tinjau kalau adik beradik berdua itu ada berdekatannya. Nanti kantoi!

“Tengok sekejap tak apa kot.” Dia bercakap sendirian. Lantas buku itu diselak satu persatu, memang sah diari. Baru berkira-kira nak menutup balik buku tersebut, tapi matanya tiba-tiba tertarik dengan kata-kata yang dicatat pada muka surat yang bertarikh 24 mei 2007.

24 mei 2007
Hari ni, sekali lagi kak long datang dengan lelaki tu. Pertama kali aku berasa dadaku berdebar hebat tatkala mataku bertembung dengan pandangan matanya yang hitam berkilat miliknya. Aku keliru dengan perasaan aku sendiri, selama ni tidak pernah aku rasakan debaran seperti ini bila ketika berdepan dengan mana-mana lelaki. Tapi dengan lelaki ni lain? Jatuh cintakah aku?? Aku sendiri tak tau. Aku sedar tak sepatutnya aku merasa begini kerana dia telah menjadi milik kakak kesayangan aku sendiri. Aku cemburu setiap kali terpandang kemesraan mereka dihadapan aku, tapi aku pendamkan saja sebab aku tak nak kak long perasan tentang perasaan aku ni. Arghhhh!!!!!apa nak jadi dengan aku ni? jatuh cinta dengan bakal abang ipar sendiri? tapi siapalah yang boleh menjangkakan benda sebegini. Macam orang kata, cinta itu buta. Tapi nak menidakkan perasaan yang hadir buat dirinya juga aku tak mampu. Sorry, but I love you AIMAN………………….

Aiman menarik nafas yang terasa menyesakkan dada sebelum meneruskan pembacaan. Sungguh tidak sangka ada sesuatu rupanya yang tersimpan dalam hati gadis itu buatnya. Satu perasaan yang istimewa.

17 jun 2007

Hari ni hatiku terasa bagai dirobek-robek bila mendengar berita perkahwinan kak long dan Aiman daripada umi. Dari suara umi yang kedengaran ceria, aku tahu yang umi gembira dengan berita ni. Akhirnya umi bakal dapat menantu. Apa lagi yang mampu aku buat selain menangis. Seharian aku menagis di dalam bilik sehingga roommate pun semua risaukan aku. Aku tahu aku sepatutnya gembira kerana kakak kesayaganku akhirnya akan disunting oleh lelaki yang dicintainya dan mencintainya. Tapi kenapa air mata ini tidak henti-henti keluar? Selfishkah aku????

Kini dia benar-benar terasa sesak nafasnya. Beberapa saat kemudian matanya diangkat dari dada diari tersebut, dan matanya tangkas menangkap dua susuk tubuh yang berjalan menuju kearahnya. Pantas buku ditutup dan diletak di tempat asalnya. Matanya tiba-tiba bertembung dengan mata redup milik Laila, tak semena-mena dia terasa janggal untuk berdepan dengan gadis itu setelah dia mengetahui rahsia hati gadis tersebut.

“Jomlah sayang.. kita balik. Sebelum tu kita singgah dulu kat kedai barang pengantin, I nak beli reben sikit.” Beritahu Laili

Mata Aiman  dilarikan kearah Laila kejap, mahu melihat reaksi gadis itu. Namun yang terpamer disitu hanya muka yang tidak berperasaan. kepalanya diangguk bersetuju.

“Kak long balik dulu eh, belajar elok-elok.” Saran Laili, kemudian tubuh adiknya ditarik ke dalam pelukannya erat.

“Abang balik dulu.”

Kata Aiman hanya disambut dengan anggukan. Tidak lama kemudian mereka hilang dari pandangan mata Laila.





0 comments: