Friday, 16 March 2012

Bisikan kata hati 1 (edited version)


4 tahun berlalu…..

Srettttt…..

Kapal terbang yang membawa penumpang dari Belanda, negara kincir angin telah selamat mendarat di KLIA . Troli ditolak dengan  berhati-hati keluar dari balai ketibaan. Setelah 4 tahun berlalu akhirnya kakinya menjejak semula Tanah Melayu. Terasa rindu yang amat sangat pada umi, abah, bang chik dan…si dia yang telah banyak mencoretkan kisah duka dalam hidupnya.

Laila Marlisa, nama secantik empunya badan. Namun ramai yang tidak mengetahui kisah duka hidupnya kecuali yang benar-benar rapat dengannya. empat tahun dia di negara orang demi memenuhi tuntutan sebagai hamba ALLAH untuk menuntut ilmu. Tapi bukan itu sebab utama dia pergi membawa diri. Perginya dia dahulu demi untuk mencari semula harga diri yang telah dipijak-pijak, membawa diri untuk membina semula kekuatan dalam dirinya.

Kini dia kembali setelah 4 tahun menjeruk rasa. Mungkin kalau dilihat dirinya kini, orang tidak akan perasan perubahan pada dirinya. Dia masih Laila yang dulu, yang lembut, naïf. Tapi satu sahaja yang berubah dalam dirinya. Dia sudah mendapatkan semula kekuatan dan keberanian dirinya, dan kerana itu juga sekarang dia menjejakkan kaki di tanah yang telah lama ditinggalkan dulu. Pulangnya dia bukan untuk menuntut sebuah dendam, tapi lebih kepada rasa rindu pada semua yang menyayangi dirinya. Soal lain, terutamanya masalah utama, ditolaknya ketepi dahulu.

Udara Malaysia disedut sedalam mungkin dan cermin mata gelap berjenama Gucci dibuka dan diletak didalam beg galasnya. Kot yang tersarung ditubuhnya ditanggal dan diletakkan ditroli.

Malaysia, I’m back.” Ujarnya perlahan. Betul bak kata, orang hujan emas dinegeri orang, hujan batu dinegeri sendiri. Lebih baik dinegeri sendiri. Termangu dia seketika memerhatikan keadaan sekeliling yang kelihatan agak sesak. Namun lamunannya terganggu apabila tubuhnya tiba-tiba dilanggar dari belakang. Ditolehnya kebelakang dan rupa-rupanya seorang budak lelaki dalam lingkungan tiga tahun yang sedang memegang lori mainan telah melanggarnya.

Laila mendekati perlahan budak lelaki yang tejatuh dilantai itu. Jelas terlihat riak ketakutan diwajah budak lelaki itu, kemudian budak lelaki itu diangkat untuk berdiri.

Comelnya..anak siapa agaknya ni? terdetik soalan dalam fikiran Laila, namun bila dilihat ke sekeliling tiada siapa pula yang berjalan mendekati mereka. Mana mak bapa budak ni?

Kemudian dikalihkan pula matanya kearah budak lelaki itu yang sedang ralit memerhatikan wajahnya dengan linangan air mata. Laila tersenyum melihat budak itu, naluri kewanitaannya terjentik sedikit memerhatikan budak lelaki itu. Dia sangat kepingin punya anak secomel itu.

“Emm..mama papa adik mana?” Soal Laila sambil mengesat linangan air mata budak lelaki itu dengan hujung jarinya. Soalan Laila itu disambut dengan gelengan. Laila sudah menggaru kepalanya yang dilitupi tudung. Kebuntuan.

Aduh..tak akan budak ni datang sorang-sorang pula kat KLIA ni? mustahil. gerutu Laila.

“Nama adik siapa?”

“Bo..Boboi.” Jawab budak itu sedikit pelat bercampur takut.

Muka punyalah comel, anak siapalah ni? pipi macam pau cina.

“Boboi datang dengan siapa? boleh aunty hantarkan.” Laila menyoal lagi.  

Apasal masih tak ada sesiapa lagi yang datang cari budak ni? nanti tidak pasal-pasal dia dituduh menculik pulak. Nauzubillah…

Tiga minit kemudian, jari telunjuk budak itu bergerak menunjuk kearah sebuah restoran yang tidak jauh dari situ. Diperhatikan dengan teliti arah yang ditunjukkan.  Kelihatan seorang lelaki yang agak tinggi dan tegap memakai kemeja biri gelap jalur hitam sedang menunggu giliran membeli makanan. Namun sayangnya lelaki itu sedang membelakangkan mereka.

Tanpa menunggu lama, tangan anak kecil itu ditarik mendekati lelaki itu. Jarak antara dirinya dengan lelaki itu kini hanya kira-kira 2 meter sahaja. Belum sempat ditegur, budak lelaki itu sudah berlari mendapatkan lelaki itu dan memeluk erat kaki lelaki tersebut. Satu helaan lega terlepas juga. Nasib baik jumpa.

Bola matanya tidak lepas memandang lelaki itu. dari susuk tubuh pemuda itu, walaupun hanya dari belakang. Laila terasa seperti pernah bertemu dengan lelaki tu.

Argh! Perasaannya aje kot. Telah Laila.

dia terus berpatah balik mendapatkan trolinya dan ditolak menuju kearah public phone. Tangannya laju mendail nombor sahabat sehidup sematinya, Liya. Tidak ramai yang tahu berita kepulangannya kecuali ahli keluarga dan sahabatnya Liya. Pemergiannya empat tahun lalu juga hanya ditemani kawannya seorang itu saja.

Umi dan abahnya langsung tidak dibenarkan menghantarnya ke airport. Dia gementar dan takut andai dia berubah fikiran saat akhir bila wajah memandang umi abahnya nanti. Selama dia hidup dia atas muka bumi ni, tidak pernah sekali pun dia berjauhan sebegini jauh dengan umi abahnya. Hatinya berat untuk meninggalkan keluarganya. Tapi mengenangkan kehadirannya yang hanya mengundang sakit hati, dikuatkan juga hatinya untuk melangkah pergi meninggalkan segala yang dia punya di Malaysia.

Hello Liya, cepatlah datang. Aku dah tak tahan ni, pinggang aku rasa macam nak patah dah.”  Rungut Laila setelah panggilannya disambut. Berjam-jam duduk dalam flight mana tidak sakit. Dia berdiri pun bila hendak pergi toilet saja. selain itu, dia hanya duduk di seatnya hinggalah kapal terbang mendarat ke bumi Malaysia.

“Assalamualaikum.” Liya memberi salam.

Ops…

“Ehem..waalaikumsalam.” Perlahan salam sahabatnya disambut. Tersedar dengan kesilapannya sendiri. Rasa penat yang bergayut membuatkan dia nak pulang secepat yang mungkin.

“Sabarlah sis. Kau kan tahu time-time macam ni KL macam mana, nak jalan pun macam siput tau tak.” Kedengaran Liya merungut di corong telefon.

Kalau dia ada didepan sahabatnya itu, pasti dapat dilihat muncung panjang mula keluar dari mulut sahabatnya itu.

“Kalau aku kena saman kau bayarkan. Sanggup?” Ugut Liya. Hendak sangat laju sampai KLIA kan, nanti tidak pasal-pasal kena tahan dengan polis, dia juga yang susah. Kena saman satu, lambat sampai lagi satu. Sudahlah minggu lepas dia telah dilayangkan kertas saman gara-gara salah parking. Kopaklah duit gaji yang baru masuk.

Laila terfikir sebentar. Mana dia nak korek duit bayar. Duit biasiswa pun tinggal cukup-cukup makan saja, kalau hendak bayar saman mahu RM100 ringgit melayang macam itu saja.

“Ha…ok..ok..kau lambat pun tak apalah aku tunggu. But please…jangan lama sangat. Aku rindu kat kaulah.” Laila memujuk, walaupun tatkala ni, dia terasa hendak saja menaiki teksi pulang kerumah. Tapi bila memikirkan Liya yang sedang bersusah payah meredah kesesakan menuju ke KLIA untuk menjemputnya, terpaksa dikuburkan sahaja niatnya itu. Nanti tidak pasal-pasal Liya merajuk pula.

“Tahu takut. Insyallah dalam 30 minit lagi aku sampai la kot.”  Beritahu Liya yang ketika itu masih berada terperangkap ditengah Bandar kuala Lumpur yang sesak dengan pekerja yang bergerak pulang. Waktu puncak la katakan.

“Aku tunggu kau dekat Ritazza cafe tau. Perut aku dah nyanyi lagu dangdut ni.” Perutnya yang kosong minta diisi. Dalam flight tadi pun dia tidak berapa berselera untuk menelan makanan. Tambah lagi dia baru sahaja kebah dari demam. Demam sebab takut nak balik, takut hendak berdepan dengan reality hidup yang menantinya.

“Ah, eloklah tu. Kau duduk aje diam-diam dekat situ sampai aku datang. Nanti tak pasal-pasal aku kena tawaf satu KLIA pula nanti.” Liya mengarah. Sudahlah KLIA tu besar, kalau sesat bukan ke haru jadinya. Hendak telefon pula, Laila masih belum mengaktifkan nombor telefon lamanya dulu.

“Baiklah mak cik…”

Seketika kemudian ketawa terletus dari bibir mungil Laila. Selepas salam diberi, gagang telefon diletak kembali ditempatnya. Dalam otaknya sudah terbayang-bayang makanan Malaysia yang sangat menyelerakan. Sudah terfikir-fikir hendak makan apa dulu sebaik saja pulang ke rumah. Nak suruh uminya masakkan.

“Nak beli chocolate dulu la.” Kata Laila sendiri. sudah lama tak makan chocolate. Hendak dibeli di Belanda, mahal pula. Lantas trolinya ditolak perlahan ke kedai yang menjual pelbagai jenis chocolate. Setelah beberapa kali berpusing dalam kedai itu mencari chocolate yang berkenan di hati, akhirnya beberapa bar coklat jenama Cadbury dan famous amos dicapai dan dibawa ke kaunter.

“Ini saja cik?” Tanya budak perempuan yang menjaga kaunter.

Yes.” Balas Laila ringkas. Kalau nak diikutkan nafsu makannya ketika itu, mahu diborang saja satu kedai coklat ini. Tapi memikirkan duit yang makin menyusut, terpaksalah dia berkabung.

“RM47.80.”  

Beg duitnya dibawa keluar dari beg galas dan sekeping not RM50 dikeluarkan. Nasib baik dia sudah awal-awal menukar wangnya kepada wang Malaysia di Belanda sebelum terbang pulang ke tanah air. Tidak perlu dia bersusah payah mencari money changer.

Setelah dipulangkan baki, kakinya terus melangkah menuju ke cafe. Trolinya ditolak berhati-hati menuju ke Ritazza café. Tempat yang agak tersorok menjadi pilihannya sambil matanya meliar memerhatikan sekeliling melihat perubahan yang berlaku sepanjang peninggalannya. Dan memang ternyata banyak perubahan yang berlaku sepanjang pemergiannya. Tapi cuma satu sahaja dia tidak pasti, samaada si dia sudah berubah atau masih seperti dulu. Lamunannya sedikit terganggu dengan suara perempuan yang datang mendekatinya.

Miss, your order please.” Seorang waiteress menyapa dan buku menu diletak dihadapannya. Laila sempat menghadiahkan senyuman manis kepada gadis itu sebelum tangannya menarik buku menu tersebut, Laila berfikir sejenak sambil membelek-belek menu yang disediakan.

One cup of coffe and blueberry cheese cake, that’s all.” Pinta Laila. Setelah waitress tadi berlalu pergi, beg galasnya ditarik dan sekeping gambar ditarik keluar. Lama matanya jatuh pada wajah gembira insan-insan di dalam gambar tersebut, kemudian matanya menyorot jatuh pula pada sepasang lelaki perempuan yang memakai baju warna sedondon. Namun ekspresi wajah keduanya kelihatan tidak segembira orang disekeliling mereka. Dia termenung jauh sehingga pesanannya sampai.

Thank you.” Ucap Laila sambil menghadiahkan senyuman. Kopinya dihirup perlahan,  tidak perlu tergesa-gesa kerana Liya pasti tibanya lambat. Setelah menghabiskan minumannya, perutnya tiba-tiba terasa memulas.

Aduh! time ni pula nak buat hal, Marah Laila sambil mengurut-ngurut perutnya yang memulas kuat. Tanpa menunggu lama terus kakinya melangkah menuju ke kaunter pembayaran.

“Dik…ladies dekat mana ye?” Laila bertanya dengan muka berkerut menahan sakit. Malu betullah.

“Akak jalan terus then belok kiri.” Tanpa menunggu lama, terus waitress yang menjaga  kaunter itu memberi arah.

“Akak nak minta tolong sikit. Tolong tengokkkan beg-beg akak ye…thanks,”

 Terus Laila melangkah laju menuju ke toilet. Kelam kabut dia mencelah ditengah orang ramai. Sudah  tidak tahan sangat ni, benda  macam ini mana boleh tunggu-tunggu. Kejap lagi terburai dekat sini, muka cantik ni juga yang malu. Laju berlari tanpa memandang kiri kanan. Tiba-tiba..

Bummm!!!

Tidak semena-mena tubuhnya terasa terdorong ke belakang dan terjelepuk diatas lantai. Blackberry yang berada di genggaman pemuda itu juga turut terlepas dan terhempas ke lantai.

“Hei! what’s wrong with you. Jalan tu pakai mat…” Tinggi nada suara yang terlontar.

Namun kata-kata yang hendak dikatakan pemuda itu serta-merta terencat bila matanya jelas menangkap seraut wajah gadis dihadapannya itu. Lama. Seraut wajah yang sudah lama hilang dari hidupannya.
          
            “Aduh! sakitnya punggung...”Laila menggumam rendah sambil mengusap belakang pinggangnya yang terasa sengal. Matanya hanya jatuh pada kasut yang pastinya bernilai ratusan ringgit yang tersarung dikaki lelaki yang dilanggarnya tadi

 Itulah bahananya kalau pecut tidak ingat dunia, kan sudah berlaku kemalangan tengah-tengah orang ramai ni. Buat malunya sahaja. Yang lelaki ni pun badan keras macam besi, penyek hidungnya. Tangan kananya bertindak mengosok batang hidungnya yang terasa sakit. Dengan wajahnya yang sudah berubah warna dek rasa malu yang menghambat, mukanya mendongak keatas perlahan untuk melihat gerangan wajah pemuda yang dilanggarnya tadi.

Matanya terbeliak besar…

Terasa jantungnya seakan-akan berhenti berdegup. Udara yang disedut bagaikan tidak sampai ke paru-parunya. Tanpa dipinta, lidahnya menjadi kelu untuk berkata. Hanya matanya sahaja yang bertembung pandang dengan mata tajam milik pemuda yang dilanggarnya tadi. Tapi hanya untuk beberapa saat cuma, pemuda itu terlebih dahulu mengalihkan pandangan matanya dari terus menikam wajah Laila. Laila tersedar dan pantas dia menguatkan tenaga untuk bangun dari lantai. Tidak betah rasanya berada lama disitu.

“Papa..” Satu suara comel kedengaran

Tiba-tiba seorang budak lelaki datang dari belakang menggengam erat tangan lelaki dihadapannya itu. Dan ternyata terkejut Laila bukan kepalang, membulat terus matanya sambil memandang kearah pemuda dihadapannya itu yang turut memandangnya. Bola matanya beralih pula pada si cilik disebelah.

Papa? budak tu..

So..sorry,”

Sedikit tergagap dirinya menuturkan kata maaf. Tudungnya yang sedikit renyuk dibetulkan sedikit. Tanpa menoleh lagi terus kakinya laju melangkah macam baru lepas nampak hantu, tidak betul jadi kakinya melangkah. Tangannya yang terasa sejuk dan menggigil tiba-tiba digenggam erat untuk mencari kekuatan. Pucat mukanya.

Tiba saja di hadapan toilet, baru Laila terasa paru-parunya terisi dengan oksigen. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan, berombak dadanya. Tubir matanya mula terasa hangat.

Tidak susah untuknya mengecam wajah itu kerana tidak banyak yang berubah. Masih kacak seperti dulu, tambah pula dengan lengan kemeja yang disising hingga ke lengan menambahkan lagi kekacakan yang dimiliki pemuda itu dan menampakkan dirinya sedikit matang dari dulu.

“Aiman…” Terpacul sudah nama yang sudah lama tidak disebut semenjak dia melangkah pergi meninggalkan bumi Malaysia. Tanpa disedari, ada air mata lesu yang menuruni lekuk pipinya.

Dia termenung buat seketika, berbekas pipinya dengan air mata kering. Namun bila teringatkan tujuan sebenarnya tadi, terus dimatikan kenangan yang mula menjalar. Mematikan rasa perit dihati yang mula memakan diri.

Selesai menggunakan toilet, kakinya diheret menuju ke surau berdekatan. Dia memerlukan ketenangan kala ini. Jam tangan Bum yang melekap ditangannya dikerling sekilas. Watu maghrib pun sudah hampir tiba.

 Dengan langkah yang lemah, diheret masuk ke surau berdekatan untuk melunaskan kewajipannya sebagai hamba di muka bumi ALLAH ini. Seusai bersolat, tangannya ditadah dengan penuh rasa rendah diri. Terasa dirinya begitu kerdil dan lemah sekali dihadapan ALLAH yang Maha Esa.

“Ya ALLAH, Ya Tuhanku yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Aku memohon pada Mu agar ENGKAU tunjukkanlah jalan yang harus aku lalui. Sesungguhnya aku lemah dalam menghadapi ujIan yang ENGKAU berikan ini Ya ALLAH. Aku memohon agar KAU titipkanlah sedikit kekuatan kepada diriku dalam menghadapi segala ujian ini Ya ALLAH. Amin..amin ya Rabbalalamin.”

Matanya yang basah dilap dengan hujung lengan bajunya. Memandangkan kakinya sudah terlajak pulang ke tanah air. Laila yakin pasti satu hari nanti dia akan berjumpa juga dengan Aiman. Tapi tidak disangka secepat ini. Sungguh hatinya masih belum cukup kuat untuk berhadapan dengan Aiman.

Dan telahan yang ada dibenaknya saat tadi mungkin benar setelah melihat budak lelaki tadi. Mungkin lelaki itu sudah berjaya mencari pengganti buat dirinya. Tidak tahu kenapa, hatinya terasa pedih untuk menerima hakikat itu.
*****
Haris yang baru keluar dari balai ketibaan antarabangsa pelik melihat keadaan Aiman yang seakan-akan baru terserempak dengan hantu. Muka yang kacak itu Nampak sedikit pucat. Dengan langkah diatur pelahan, troli begnya ditolak mendekati Aiman dan Blackberry milik Aiman dilantai dicapai pantas. Bertambah bingung dibuatnya apabila Aiman seakan-akan tidak sedar akan kehadirannya. Bahu sahabatnya itu dipeluk seketika untuk menyedarkan sahabatnya yang mungkin mengelamun waktu-waktu senja ini. Kena sampuk jembalang tanah apa?

Aiman tersentak bila terasa bahunya dipeluk dari belakang. Terus terbang segala lamunannya bagai tiupan angin. Kepalanya ditoleh sedikit kesisi kanannya dan terus matanya disapa dengan figura sahabat karib merangkap sepupunya.

“Weh! bro. kau kenapa ni? Macam baru lepas nampak hantu je aku tengok.” Haris memulakan kata bebaur risau. Tak akan kena sampuk hantu pula. Senyap mengulit mereka seketika.

She’s back.” Aiman menutur tanpa nada.

Ringkasnya ayat yang keluar dari mulut Aiman itu menambahkan lagi kepelikan Haris. Muka Haris berkerut seribu.

Balik? Siapa yang balik? Fikirnya dalam hati.

“Balik? Who?” Soal Haris bingung.

Hari ni Aiman datang menjemput Haris yang pulang dari US atas urusan kerja. Dia seharusnya turut serta ke US, tapi last minutes papanya suruh dia menguruskan projek pembinaan resort di Pulau Pinang. Dan sekejap tadi, dengan tidak sengaja dia berlanggar dengan gadis itu. Pandangannya dihalakan kewajah Haris yang berkedut seribu mempamer jelas wajah kebingungannya

“Laila.”  Aiman menjawab tanpa perasaan.

“Oo…Laila.”

Mulut Haris membentuk huruf ‘O’. Haris terdiam sekejap. Wait, nama tu macam pernah berdaftar dalam kepalanya. Beberapa saat kemudian baru otaknya dapat menangkap maksud sahabatnya itu. Serta merta matanya terjegil. Tersentak dengan berita yang baru disampaikan sebentar tadi.

“Laila? you mean…Laila Marlisa?” Tanya Haris dengan nada yang cukup terkejut. Masakan tidak dia mengenali gadis itu. Dia cukup arif tentang apa yang berlaku antara Aiman Syakiri dan Laila Marlisa. Dia juga mengetahui kisah disebalik pemergian gadis itu 4 tahun lalu. Semuanya ada dalam poketnya.

That’s mean dia dah habis belajar, macam tu?” Soal Haris lagi. Diperhatikan riak wajah Aiman. Sah tak ada perasaan. Takkan Aiman tak kisah kot Laila dah balik?

Pertanyaan Haris hanya dijawab dengan jungkitan bahu oleh Aiman menandakan yang dia tidak tahu.

I guest.” Aiman membalas malas. Tapi kalau dia tidak kisah tentang berita kepulangan gadis tu, kenapa mukanya pucat tadi? Dia sendiri tidak mengerti dengan perasaannya kini. Gembira ke dia dengan kepulangan gadis tu?

So? macam mana?” Haris bertanya soal tindakan yang bakal diambil Aiman kini. Masalah yang dielak selama empat tahun, sekarang sudah muncul. Macam mana Aiman bakal bertindak? Macam mana Aiman hendak menyelesaikan masalah ini. Lambat laun Pak ngah dan Mak ngahnya pasti tahu juga tentang kepulangan Laila.

“Macam mana apa? Entah…malaslah aku nak fikir. Eh, jomlah kita singgah masjid dulu, maghrib dah masuk ni. Lepas tu kita lepak tempat biasa.” Aiman mengajak. Malas hendak ambil pusing pasal gadis itu. Tapi memang semenjak dua menjak ni, dia selalu teringat tentang gadis itu. Mungkin itu petanda bahawa gadia itu bakal balik kot.

“Nah..Blackberry kau jatuh tadi.” Haris menutur sambil menayangkan blackberry yang diambil tadi di depan mata Aiman.

Terus dicapai semula Blackberrynya laju dan ditekan-tekan keypadnya. Nasib baik tak rosak. Aiman menghela nafas lega

Haris hanya menggeleng kepala. Pasal handset risau melebih pula, sepatutnya Laila yang perlu dirisaukan. Kalau macam inilah gayanya, macam manalah masalah antara mereka ni akan selesai. Dia hendak bercakap lebih pun tak boleh, takut naik minyak pula sahabatnya tu nanti. Bukannya boleh agak sikap sahabatnya seorang ini. Kalau barannya datang, mahu pecah pejabat nanti.

Boboi yang hanya memerhati dari tadi dengan matanya yang terkebil-kebil comel segera merengek mencari perhatian.

“Boboi…meh dekat uncle.” Haris berkata seraya mendepakan tangannya luas.

Beberapa saat kemudian terus Boboi hilang dalam pelukan Haris. Habis digomol anak sedaranya itu.

“Sudahla..bak troli tu aku tolak.” Aiman menawarkan diri.

“Boleh juga tu.” Haris bersetuju, kemudian mereka jalan beriringan keluar menuju ke basement parking. Sepanjang perjalanan mereka ke basement parking, fikiran Aiman tidak terlepas memikirkan perkara yang bakal terjadi memndangkan gadis itu sudah pulang. Haris yang melihat hanya mampu menggeleng. Dia nak bantu pun, dia sendiri tidak reti. Mengeluh sajalah boleh.

p/s:  hai semua...dh lame rasanye x update blog ni haha...korang semua rindu x dekat Aiman n Laila????? kalo x rindu pun xpe huhu, sengaja nk update sekali sekala supaya korang x lupe dgn BKH...utk semua yg menunggu-nunggu update SKQ sorry sgt2 sbb lame menunggu, idea tgh kering sekarang ni. doa2 kanla supaya idea dtg mencurah-curah ye untuk SKQ dan KKDA supaya korg x payah tunggu lame2. dila pun x suka nk buat korg tertunggu-tunggu, terseksa. tapi apakan daya, idea xde huhu....ok lah hope korg enjoy for this edited version of BKH...komen la ye... miss u oulzzz

4 comments:

aalia shahira said...

wah,siapakah gerangan kanak2 itu?jeng,jeng,jeng.......

Anonymous said...

best sgt...rindu kat laila n aiman...semoga idea datang mencurah-curah ye..hehe

dila dyna said...

hehe...insyallah my dear, kne bertakafur dulu pikir idea haha

Anonymous said...

sapew bdk boboi tuu???
pls jgn ckp tu anak aiman
hehe